Wanita terima enam dos vaksin Pfizer sekali gus

ROM, Itali – Seorang wanita Itali berusia 23 tahun telah diberikan enam dos vaksin Covid-19 jenis Pfizer secara tidak sengaja baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Wanita yang juga seorang pelajar itu dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menerima rawatan ubat di hospital, demikian menurut agensi berita AGI.

Insiden berlaku apabila seorang jururawat di Hospital Noa, Tuscany secara tidak sengaja menyuntik keseluruhan isi botol vaksin ke lengan mangsa iaitu jumlah yang setara dengan enam dos.



Jururawat berkenaan segera menyedari kesilapannya dan memaklumkan kepada pesakit serta doktor bertugas.

Wanita itu dimasukkan ke hospital selama 24 jam di bawah pemerhatian sebagai langkah berjaga-jaga.

Pengarah Penyakit Berjangkit di Hospital Noa, Dr Antonella Vicenti memberitahu stesen televisyen CBS bahawa wanita itu tidak mengalami kesan sampingan walaupun menerima dos berlebihan.

“Pesakit tiada demam dan tidak mengalami kesakitan lain kecuali sakit di tempat suntikan.



“Dia agak ketakutan, jadi kami membawanya ke hospital untuk memantau keadaannya,” jelas Vinceti.

Jurucakap hospital, Daniella Gianelli memberitahu stesen penyiaran CNN bahawa doktor akan terus memantau tindak balas imun pesakit itu.

Mereka akan mengambil darah secara berkala dan menentukan sama ada wanita itu memerlukan suntikan vaksin kedua.

Gianelli berkata wanita muda itu layak menerima vaksin berbanding yang lain dalam kumpulan umurnya kerana dia adalah pelajar praktikal di jabatan psikologi hospital tersebut. – Agensi



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker