Mengapa zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu di bulan Ramadhan



Sebaran :

Mengapa zakat fitrah diwajibkan kepada setiap individu di bulan Ramadhan. Ini sebabnya

Lagi beberapa hari Ramadan melabuhkan tirai dan syawal menjelma. Selain dari amalan berpuasa, bulan Ramadan juga mewajibkan umat Islam mengeluarkan zakat. Bukan zakat harta (pendapatan) tetapi zakat fitrah.

Zakat fitrah adalah kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki.



Perintah mengeluarkan zakat fitrah bermula pada tahun kedua hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadan.

Hikmah disyariatkan zakat fitrah sebagai penyucian diri bagi orang-orang yang berpuasa dari perbuatan yang sia-sia dan kotor. Juga sebagai bantuan terutama makanan bagi fakir dan miskin agar kehidupan mereka cukup dan tidak meminta-minta di hari raya.

Malah mereka juga dapat turut sama bergembira meraikan hari kemenangan umat Islam seusai sebulan berpuasa.



Dari Ibnu Abbas r.a. ia berkata,

“Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian diri bagi orang-orang yang berpuasa dari (perbuatan) sia-sia dan kotor serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Barang siapa menunaikan sebelum solat(sunat hari raya), maka zakatnya diterima. Dan barang siapa yang menunaikan zakat setelah solat maka itu dianggap sedekah biasa” HR Abu Dawud

Dalam hadis yang lain, dari Ibnu Umar r.a.

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kalangan muslimin” HR Bukhari.

Hukum Zakat Fitrah



Zakat fitrah dihukumkan wajib bagi setiap muslim, lelaki atau wanita, merdeka atau hamba, anak kecil atau orang dewasa yang memiliki satu sha’ (ukuran dalam zakat fitrah) makanan baki dari makanan kebiasaannya.

Atau makanan kebiasaan orang yang menjadi tanggungannya dari kaum muslimin. Juga turut disunnahkan mengeluarkan zakat fitrah untuk janin dalam kandungan.

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 60 telah membincangkan tentang zakat fitrah. Dalam muzakarah itu memutuskan hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah bagi orang tertentu iaitu,



Pertama: Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

Kedua: Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari.

Ketiga: Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya.



Keempat: Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadan

Waktu membayar zakat

Harus hukumnya membayar zakat bermula dari awal bulan Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan.



Adapun mazhab Syafie mengikut yang azhar dan imam Hanbali berpendapat, waktu wajib membayar zakat fitrah bermula dengan terbenamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam raya). Ini juga merupakan pendapat sebahagian mazhab Maliki.

Manakala sunat hukumnya mengikut pendapat mazhab Syafie jika membayarnya sebelum solat sunat hari raya dan makhruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.

Waktu yang haram pula apabila menunaikannya selepas hari raya tanpa ada keuzuran dan dianggap berdosa. Pendapat ini dipersetujui oleh mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.



Tetapi ia tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia telah dikira sebagai sedekah. Sekiranya masih dilengahkan maka akan bertambah dosanya.

Oleh itu, bagi anda yang masih belum membayarnya, janganlah ditangguh. Laksanakan sekarang di mana-mana kaunter yang dibuka di masjid-masjid. Bukan apa, takut jika ditangguh akhir terlupa. Wallahu a’lam Utv

Terlupa kadar zakat fitrah? Ini maklumat bayaran zakat fitrah seluruh negara


Sebaran :


Leave a Reply