Addin : Pupuk sifat peduli


Datuk Mohd Ajib Ismail

ANTARA matlamat utama amalan berpuasa dan pelbagai ibadah lain yang dianjurkan dalam bulan Ramadan adalah untuk melahirkan individu dan masyarakat yang prihatin serta memiliki akhlak yang terpuji. Prihatin bermaksud mengambil berat dan memberikan perhatian terhadap perkara halal dan haram, perbuatan dosa dan pahala, perlakuan yang dibenarkan dan dilarang serta cakna terhadap kesusahan masyarakat sekeliling terutama golongan asnaf dan fakir miskin yang memerlukan bantuan.

Ramadan meningkatkan kesedaran diri terhadap batasan halal dan haram yang perlu dipatuhi dalam menjalani kehidupan. Seseorang yang tidak memelihara diri dari melakukan perkara yang diharamkan oleh Allah akan menyebabkan ibadah puasa yang dilakukannya menjadi sia-sia. Begitu juga seseorang yang tidak menjaga dirinya dari melakukan perkara yang ditegah oleh syariat akan mudah terjerumus dalam lembah kebinasaan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyir RA beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul darah, yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ramadan juga mendidik kita menjadi insan yang prihatin terhadap dosa dan pahala sama ada melalui perlakuan mahupun tutur kata. Pahala ialah balasan baik yang dikurniakan Allah SWT kepada hambanya kerana mentaati perintah Allah dan meninggalkan larangannya.

Manakala dosa pula sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Dosa adalah apa yang menimbulkan keresahan di jiwamu dan kamu benci ia dilihat manusia.” (Riwayat Muslim)

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW bersabda: “Mintalah fatwa kepada hati dan jiwamu. Kebaikan (pahala) ialah apa yang menyebabkan jiwa dan hati tenteram kepadanya, sedangkan dosa ialah apa yang merisaukan jiwa dan menyebabkan ganjalan dalam dada walaupun orang-orang telah memberi fatwa kepadamu.” (Riwayat Muslim)

Dalam era kerancakan media sosial yang menguasai segenap aspek kehidupan, kita dituntut supaya lebih berhati-hati dalam memberikan sebarang komentar serta memperbanyakkan perkongsian mesej kebaikan yang mengundang pahala.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang tidak ada manfaatnya (laghwu) dan perbuatan yang kotor dan keji (rafath). Bahkan jika seseorang memarahi kamu, katakanlah kepadanya bahawa kamu sedang berpuasa.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW menyeru umatnya supaya meninggalkan perbuatan namimah atau mengadu domba iaitu menyebarkan perkataan mengenai peribadi orang lain sehingga mencetuskan pergaduhan dan merosakkan hubungan persaudaraan.

Ramadan mendidik kita dengan sifat prihatin terhadap perintah dan larangan Allah SWT seperti memelihara diri dari melakukan perkara yang boleh membatalkan dan mengurangkan pahala puasa. Walaupun Islam memberikan kelonggaran kepada golongan yang uzur untuk tidak berpuasa, namun individu terbabit haruslah memelihara adab dan maruah diri supaya tidak makan dan minum di tempat terbuka sehingga mencemarkan maruah dan mengundang fitnah orang ramai.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ibn ‘Amru al-Ansari RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesungguhnya termasuk perkara yang didapati oleh manusia dari perkataan nubuwwah (kenabian) yang pertama adalah jika engkau tidak malu maka berbuatlah sesukamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ramadan mengasuh diri menjadi prihatin terhadap kesusahan insan lain. Justeru, inisiatif Ramadan Prihatin digerakkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama agensi agama di bawah tanggungjawabnya bagi menghulurkan sebanyak mungkin bantuan dan sumbangan kepada golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Allah SWT memerintahkan hambanya untuk saling tolong-menolong dan bantu-membantu sebagaimana firmanNya dalam surah al-Ma’idah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Program yang dianjurkan sepanjang Ramadan khususnya di Wilayah Persekutuan seperti Jawi Food Bank, Dapur It’am dan sumbangan masjid dapat menyemai sifat empati sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama manusia. Setiap individu perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Pelbagai inisiatif lain yang dilaksanakan melalui penjenamaan masjid prihatin sepanjang Ramadan adalah bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Perumpamaan orang Mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan, maka, seluruh badan akan merasakan panas dan demam.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW menjelaskan orang yang mengambil berat mengenai perihal saudaranya sendiri pasti akan mendapat ganjaran besar dan balasan baik daripada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang menyelesaikan masalah seorang Mukmin di dunia maka Allah akan menyelesaikan masalahnya di akhirat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesulitan maka Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutupi aib saudaranya, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat dan Allah sentiasa akan menolong hamba-Nya selama ia menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Di penghujung Ramadan yang berbaki ini, mari kita menghidupkannya dengan amalan qiamullail, solat, membaca al-Quran, beriktikaf, berzikir dan berdoa.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Rasulullah SAW juga menganjurkan supaya memperbanyakkan berdoa kepada Allah dengan meminta keampunan-Nya. Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Manfaatkan keberkatan Ramadan dengan memperbanyakkan doa termasuk doa kepada ibu bapa sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran surah Ibrahim ayat 41 bermaksud: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

6 Amalan Nabi s.a.w. pada waktu pagi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker