‘Kem Tengku Zainul’ Marah Mahathir Buat Video Sokong Mereka

“Sokongan Membawa Rebah”

PEKAN – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat video rayuan supaya pengundi menyokong calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini disifatkan seumpama ‘sokongan membawa rebah’.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, hasil kajiannya di lapangan mendapati Tengku Zainul Hisham yang menggunakan logo ‘rumah’ pada PRK kali ini sebenarnya bukan ditaja Pakatan Harapan (PH) dan Dr Mahathir sebagaimana didakwa banyak pihak.
Beliau sebaliknya menegaskan kem bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pekan itu didakwa marah apabila Dr Mahathir memuat naik klip video sokongan kepada Tengku Zainul Hisham.

“Ramai menjangka beliau (Tengku Zainul Hisham ) ditaja oleh PH, sebenar tidak begitu.

“Bahkan mereka sangat marah apabila Tun M membuat video menyokong Tengku Zainul Hisham, video itu menyebabkan sokongan pengundi sedikit merudum.

“(Parlimen) Pekan adalah tapak sokongan Datuk Seri Najib Tun Razak, perseteruan dengan Najib menyebabkan Tun M tidak disukai oleh orang Pekan.

“Apabila beliau (Tun M) membuat rayuan supaya menyokong Tengku Zainul Hisham, video itu seperti sokong membawa rebah,” katanya melalui kenyataan di laman Facebooknya semalam.

Mohd Yusri berkata, Tengku Zainul Hisham dilihat mempunyai peluang lebih baik untuk mencabar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zin berbanding seorang lagi calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli atau lebih dikenali Cucu Mat Kilau.

Menurutnya, penilaian itu berasaskan jentera kempen pilihan raya Tengku Zainul Hisham yang dilihat lebih tersusun, mempunyai bilik gerakan sendiri serta ramai jentera belia terdiri kalangan anak muda lelaki dan perempuan.

Bagaimanapun kedua-dua calon Bebas disifatkan beliau sangat mustahil untuk menyaingi calon BN berdasarkan faktor DUN Chini dan Parlimen Pekan kubu kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Walau bertanding sebagai calon Bebas beliau (Tengku Zainul Hisham) berjaya memberi sedikit impak pada PRK ini berbanding Cucu Mat Kilau yang dilihat kurang mendapat sambutan pengundi serta kelihatan sangat sukar untuk dapat semula wang pertaruhan.

“Walaupun sedikit sebanyak memberi impak dalam PRK ini namun mustahil untuk mereka menyaingi BN di DUN Chini sangat mustahil,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lepas akibat serangan jantung.

Abu Bakar merupakan wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada tahun 2004.

Pada PRU14, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan Mohd Fadhil Noor (Pas) yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari Parti Keadilan Rakyat sekadar memperoleh 1,065 undi.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

PH memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chini atas alasan sukar memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

SH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker