Menteri: Tak perlu kebenaran polis untuk ke temu janji di hospital, klinik

 

Kerajaan membatalkan keperluan mendapatkan kebenaran polis bagi perjalanan untuk urusan temu janji dan rawatan perubatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata mereka yang mempunyai urusan tersebut hanya perlu mengemukakan kad temu janji kepada pihak berkuasa.

“Sebelum ini, kerajaan telah menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perlunya mendapat surat kebenaran polis bagi urusan mendapatkan rawatan atau temu janji di hospital atau klinik.

“Ini telah menyukarkan mereka terutama pesakit yang memerlukan rawatan berjadual seperti kanser dan buah pinggang.

“Bagi pesakit yang mempunyai temujanji doktor dan rawatan berjadual, cukup sekadar mengemukakan kad temujanji,” katanya dalam kenyataan.

Larangan perjalanan rentas negeri akan berkuat kuasa di seluruh negara bermula esok.

Dalam perkembangan lain, Ismail memaklumkan pelanggaran utama berkaitan SOP mutakhir ini adalah kegagalan merekod butiran diri ketika masuk ke premis.

“Ini menunjukkan masih ada di kalangan kita bersikap sambil lewa sedang Covid-19 kini sudah berada dalam komuniti,” katanya.

Menggesa orang ramai agar terus mematuhi SOP, Ismail berkata kegagalan merekod butiran diri akan menyukarkan pihak berkuasa antaranya untuk membuat pengesanan kontak rapat jika berlakunya kes Covid-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker