Khaled: ‘Lockdown’ segera, jangan bagi arahan mengelirukan


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan melaksanakan sekatan penuh (lockdown) di negara ini bagi mengekang penularan Covid-19, memandangkan kes kian meningkat.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi negara-negara maju yang tidak teragak-agak untuk mengambil pendekatan drastik untuk membataskan pergerakan orang ramai dalam memutuskan rangkaian wabak Covid-19.

“Malaysia mesti segera melaksanakan ‘lockdown’ bagi mengekang penularan ini. Jangan lagi teragak-agak dengan arahan yang mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Khaled, rakyat Malaysia tidak kira orang kenamaan, ahli politik mahupun rakyat mesti berkorban dan melupakan segala bentuk kunjungan Hari Raya walaupun dalam daerah yang sama bagi mengelakkan jangkitan.

“Ingatlah, dengan proses vaksinasi yang perlahan, kemampuan kemudahan perubatan telah berada pada tahap maksimum dan petugas kesihatan semakin tertekan, Malaysia berada pada fasa kritikal dalam menangani wabak ini.

“Semua sektor ekonomi mesti memberi laluan kepada ‘darurat kesihatan’ ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan harian kes Covid-19 terus melonjak dengan 4,514 kes baru dilaporkan dengan sebanyak 25 kematian.

Untuk rekod, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di kawasan-kawasan tertentu di Selangor, Johor, Terengganu, Perak dan Kelantan serta seluruh Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, terdapat beberapa kawasan lain yang menjalani PKP Bersyarat (PKPB), PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Manakala semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak polis di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa 10 Mei hingga 6 Jun ini.

Sementara itu, Khaled berkata, kerajaan tidak boleh teragak-agak dengan arahan yang menyebabkan kekeliruan terutamanya apabila protokol kesihatan tidak lagi berkesan, memandangkan rakyat telah menunjukkan sindrom keletihan terhadap prosedur operasi piawai (SOP) sedia ada.

Pada masa sama, dalam kes sporadik yang dialami oleh negara hari ini, Khaled juga mencadangkan supaya kerajaan mempertingkatkan kebolehan fungsi MySejahtera untuk individu yang positif tidak mengetahui sumber atau tempat mereka mendapat jangkitan tersebut.

“Keupayaan sedia ada MySejahtera seharusnya ketika ini sudah melangkaui keupayaan sekadar imbasan QR.

“Ia seharusnya sudah berupaya memaklum individu jika mereka pernah berada dalam jarak yang dekat dengan individu positif Covid (‘proximity notification’).

“Teknologi ini telah pun dibina melalui kolaborasi Apple dan Google,” katanya. Mk

Najib ‘sekolahkan’ Wan Saiful

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker