Semua gerai dan penjaja tepi jalan diarah ‘bungkus’ mulai esok

Pada hari-hari terakhir Ramadan, kerajaan Kelantan mengambil langkah drastik mengarahkan semua gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya ditutup mulai esok.

Langkah tersebut kata pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, dibuat susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negeri itu.

Dalam kenyataan media hari ini pejabat SUK Kelantan tindakan tersebut diambil selepas mengambil kira aspek kesihatan orang ramai.

“Demi menjaga kelangsungan kesihatan masyarakat dan sebagai salah satu usaha untuk mengekang jangkitan Covid-19, maka dimaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan akan mengambil langkah menguatkuasakan penutupan gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya bermula 9 Mei.

“Para peniaga dan masyarakat diminta mematuhi arahan ini bagi mengelakkan tindakan diambil di bawah peraturan yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Kelantan akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) susulan permohonan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat ditolak kerajaan pusat.

Tinjauan di Kelantan baru-baru ini juga mendapati gerai-gerai tepi jalan yang menyediakan jualan juadah Ramadan didapati meriah sekali gus berlaku pelanggaran SOP ditetapkan.

Sementara itu pejabat SUK Kelantan berkata, keadaan pandemik Covid-19 di Kelantan kini semakin meningkat dengan kes positif harian tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan.

 

Keadaan penuh risiko

Pada masa sama katanya kemudahan kesihatan juga semakin tidak mencukupi dan kritikal apabila kadar penggunaan katil di hospital Covid-19, hospital hibrid dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) berisiko rendah menghampiri 100 peratus.

Malah katanya ada yang sudah mencapai lebih 100 peratus.

“Hampir setiap hari wujud kluster baru sama ada kluster komuniti atau kluster tempat kerja sehinggakan Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas terpaksa dikenakan PKP diperketatkan selama 14 hari ekoran penularan Covid-19 yang semakin cepat.

“Kadar kematian akibat Covid-19 di negeri Kelantan juga semakin hari semakin meningkat sehingga pada masa ini sudah melebihi bilangan 50 orang dengan purata kematian lebih kurang empat orang sehari,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, mereka yang dikenakan perintah kuarantin di rumah atau individu di bawah pengawasan (PUI) pula masing-masing melebihi 2,000 orang dan 4,000 orang.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Kelantan pula sudah melebihi 16,000 orang.

“Jumlah ini dikhuatiri akan semakin bertambah dari hari ke hari sekiranya langkah-langkah yang lebih drastik tidak diberikan perhatian utama memandangkan kepada tahap kadar kebolehjangkitan di negeri Kelantan masih lagi tinggi pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Memandangkan keadaan yang penuh risiko ini, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kelantan terpaksa mencari pendekatan segera untuk mengelakkan perkumpulan orang ramai di satu-satu tempat yang merupakan penyebab utama perebakan virus Covid-19.

“Antara aktiviti yang dikenal pasti menarik perkumpulan sedemikian pada masa ini adalah gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja beredar dan seumpamanya yang dilihat tidak mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara,” kata kenyataan itu.

Elizabeth, suami tinggal berasingan?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker