Serang rakan serumah dengan kapak

Sebaran :

Seorang wanita cedera di kepala selepas diserang menggunakan kapak dalam kejadian di sebuah rumah taman perumahan kelmarin.

Wanita berusia 24 tahun berkenaan dikatakan telah diserang oleh seorang lagi wanita lain yang juga rakan serumah mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek tinggal di rumah sama milik seorang lagi wanita berusia 40 tahun.

“Berlaku pertengkaran mulut antara mangsa serta suspek yang berumur 33 tahun. Suspek kemudiannya menyerang dengan menggunakan senjata dipercayai sebilah kapak hingga terkena bahagian kepala mangsa.

“Mangsa terus menghubungi wanita yang juga pemilik rumah terbabit bagi memaklumkan kejadian itu sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haris menyatakan hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan tidak berpuas hati kerana pemilik rumah berkenaan membenarkan mangsa tinggal serumah bersamanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala sudah menerima rawatan di wad kecemasan, Hospital Queen Elizabeth (HQE) manakala suspek pula kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya. – K! ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply