Arab Saudi dedah gambar terbaru Hajarul Aswad, Makam Ibrahim
Buat kali pertamanya, pihak berkuasa Arab Saudi mendedahkan gambar terbaru Hajarul Aswad dan Makam Ibrahim yang menjadi tapak arkeologi terpenting di Masjidil Haram di Mekah.
Menurut Ketua Presiden bagi Hal Ehwal Dua Masjid Suci, sebanyak 1,050 gambar Batu Hitam dan makam terbabit diambil menggunakan teknologi Fox Stack Panorama.
Teknologi berkenaan menggabungkan imej dengan tahap kejelasan berbeza untuk menghasilkan sebuah gambar resolusi tinggi batu yang dikenali sebagai Hajarul Aswad itu.
Gambar 49,000 megapixel itu diambil dalam tempoh melebihi tujuh jam dan memerlukan masa selama seminggu untuk disunting sebelum gambar batu hitam secara terperinci itu didedahkan buat kali pertama.
Menurut Penolong Setiausaha Agung bagi Agensi Pengajian Projek dan Kejuruteraan, Sultan Ati Al-Qurashi, pihak berkuasa berminat menggunakan teknik pengimejan terbaru itu memandangkan Hajarul Aswad begitu penting buat umat Islam.
Batu itu ditempatkan pada ketinggian 1.5 meter dan diletakkan dalam bingkai perak asli untuk melindunginya.
Sultan Ati berkata, pihak berkuasa juga ingin mendokumentasikan Batu Hitam itu bersama Makam Ibrahim untuk menunjukkan perincian teknikal dan dimensi kejuruteraannya.
“Ia adalah teknologi canggih yang digunakan buat kali pertama dalam membina model yang menghasilkan semula bentuk dan saiz Makam Nabi Ibrahim,” katanya.
Agensi Pengajian Projek dan Kejuruteraan sedang menyiapkan satu pameran secara maya untuk menunjukkan semua hasil kerja yang dilakukan dalam tiga dimensi (3D) yang dianggap sebagai replika menyerupai seperti koleksi arkeologi sedia ada.
Pameran itu termasuk 123 pelbagai bahan pameran yang diambil dari Muzium Seni Bina Dua Masjid Suci.
https://portal.mykmu.net/2020/07/22/masjidil-haram-ditutup-pada-hari-wukuf-dan-aidiladha/
You must be logged in to post a comment.