Segera tubuh RCI siasat pendedahan Tommy, Abdul Hamid


SEGALA pendedahan yang dilakukan Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador disifatkan sebagai dakwaan serius yang perlu disiasat menerusi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Kata sepakat itu dicapai Pergerakan Pemuda UMNO dalam mesyuarat ahli jawatankuasanya hari ini yang melibat pendedahan tersebut melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi yang menjadi benteng mempertahankan Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Pemuda UMNO berpendapat penubuhan RCI wajar dilakukan atas tujuh asas utama termasuk penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim dan posisi penting dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, ia turut melibatkan kebebasan badan kehakiman dan institusi memelihara keselamatan negara di samping campur tangan badan eksekutif dan politik melampau dalam badan pengadilan serta institusi PDRM.

Selain itu, kata Asyraf Wajdi, penubuhan RCI juga penting kerana melibatkan pendakwaan terpilih dan bersifat politik.

“RCI juga wajar ditubuhkan kerana pendedahan tersebut melibatkan amalan rasuah dalam budaya lompat parti dan penghinaan kepada institusi perundangan serta keselamatan negara.

“Ia juga bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi yang memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Buka segera kertas siasatan rasuah lompat parti – Asyraf Wajdi

Tommy dalam buku tulisannya berjudul ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mendedahkan peletakan jawatannya sebagai Peguam Negara adalah atas kehendak Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau turut mendedahkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar di Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak adalah atas cadangannya.

Abdul Hamid dalam sidang akhbar terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara pula mendedahkan campur tangan politik dalam pelantikan pegawai tertinggi PDRM di samping amalan rasuah dalam budaya lompat parti yang berleluasa.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mendesak supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan Parlimen kembali bersidang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Pada masa sama, mesyuarat ahli jawatankuasa Pemuda UMNO turut memutuskan supaya tiada lagi aspek penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) dan pematuhan undang-undang berkaitan pencegahan COVID-19 berasaskan darjat dan kedudukan.

“Suara rakyat yang marah dan kecewa akibat wujud dwi-standard dalam penguatkuasaan SOP mestilah diambil serius oleh semua pihak agar usaha membendung pandemik ini berjaya dan benar-benar berkesan,” jelas beliau. HM

‘Isu’ Hamzah : Saya serah kepada KPN baharu; laporan polis bukan ‘wajib’, kata Hamid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker