Cuepacs bantah, tapi TI-M setuju wujud akta baharu, hukum penjawat awam punca ketirisan


Dua kumpulan dari penjawat awam dan antirasuah berbeza pendapat terhadap cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu akta baharu khusus untuk mengambil tindakan terhadap penjawat awam atau agensi yang mengakibatkan ketirisan, kesilapan dan kerugian seperti didedahkan.

Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berpandangan tiada keperluan untuk mewujudkan akta baharu itu kerana undang-undang sedia ada yang dikuatkuasakan oleh SPRM ketika ini sudah memadai.

Presidennya, Adnan Mat berkata melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 khusus untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah serta salah guna kuasa.

“Tiada keperluan untuk membuat satu undang-undang yang baru khusus untuk penjawat awam semata-mata kerana penjawat awam juga tertakluk kepada akta SPRM serta peraturan semasa berkaitan perkhidmatan awam.



“Cuepacs berpandangan akta dan peraturan sedia ada sudah mencukupi untuk membanteras isu rasuah dan ketirisan secara menyeluruh tanpa membeza-bezakan pelakunya,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata pihaknya sedang merangka peruntukan undang-undang itu sebelum dibentangkan kepada kerajaan.

Shamsun berkata peruntukan undang-undang berkenaan adalah bersifat ‘misconduct in public office act’ yang lebih khusus menangani isu ketirisan dan salah laku seperti didedahkan oleh dalam setiap Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Dalam pada itu Adnan berkata, apa yang penting ialah SPRM perlu mengatasi isu penguatkuasaan yang mungkin boleh ditingkatkan lagi.



Katanya, SPRM juga boleh menasihati kerajaan bagi menambah baik kerja sedia ada dalam perkhidmatan awam bagi mengelakkan peluang atau ruang kepada ketirisan dan rasuah.

“Tiada gunanya pelbagai akta baharu dipinda atau digubal sekiranya aktiviti penguatkuasaan tidak dilakukan dengan berkesan.

“Ia tidak dapat menyelesaikan masalah secara komprehensif yang akhirnya memberi gambaran yang buruk dalam kalangan masyarakat kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, kumpulan antirasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) setuju 100% dengan cadangan SPRM untuk wujudkan akta baharu itu.



Presidennya, Muhammad Mohan berkata ini kerana setiap tahun laporan audit negara mengeluarkan laporan isu sama seperti ketirisan berlaku.

“Siapa yang rugi sebenarnya adalah pembayar cukai. Tindakan untuk adakan satu akta baharu itu sangat penting untuk timbulkan isu akauntabiliti.

“Maksudnya penjawat awam terlibat dalam projek itu. Ini bermakna sebelum projek diberi dan ditender, ia perlu dikaji balik. Bila projek dilaksanakan perlu ada pemantauan.

“Kalau projek setahun dan berlanjutan 3 hingga 4 tahun, tanpa sebab munasabah, mereka yang bertanggungjawab memantau, perlu ada satu sistem ambil tindakan terhadap mereka,” katanya.



Katanya, akta baru itu adalah satu tindakan yang baik. FMT

PN gagal tangani rasuah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker