Saman ‘negara Kristian’ Hannah Yeoh terhadap bekas KPN batal atas sebab teknikal


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membatalkan saman Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara (KPN) Musa Hassan berhubung dakwaannya berkaitan ‘negara Kristian’ melibatkan Ahli Parlimen Segambut itu.

Ketika pengurusan kes hari ini, Hakim Rozana Ali Yusoff bagaimanapun membenarkan Yeoh memfailkan saman baharu.

Peguam Yeoh, Lim Wei Jiet berkata dalam kenyataan, saman itu dibatalkan atas sebab teknikal.

“Kami dibenarkan memfailkan kes baharu, jadi tiada prejudis kepada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan hari ini tidak bermaksud Musa berjaya dalam kes berkenaan.

“Kami tidak dapat memfailkan beberapa dokumen kerana memerlukan izin peguam defendan (Mohd Khairul Azam Abdul Aziz).

“Walaupun dokumen itu dihantar awal, kami tidak mendapat izin daripada mereka.

“Beliau juga mempunyai hal kecemasan peribadi sejak beberapa hari lalu yang lebih menyukarkan kami mendapat izin itu,” katanya.

Katanya, alasan diberikan mereka itu sebagai punca kelewatan memfailkan dokumen tidak diterima mahkamah.

Lim berkata, pasukannya menerima arahan untuk memfailkan saman baharu secepat mungkin.

Sementara itu, Khairul berkata saman itu ditolak tanpa perintah berkaitan kos, dan mengesahkan Yeoh boleh memfailkan yang baharu.

Rozanna sebelum ini mengarahkan perbicaraan diteruskan selepas menolak permohonan Musa untuk membatalkannya.

Yeoh memfailkan saman terhadap Musa tahun lalu berhubung dakwaan bahawa beliau cuba menjadikan Malaysia negara Kristian.

Beliau mendakwa kenyataan Musa itu dibuat ketika forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 30 Jan 2020.

Musa yang menjadi KPN dari 2006 hingga 2010, didakwa memberitahu forum berkenaan bahawa kumpulan yang tidak dinamakan berusaha memusnahkan Islam di negara ini.

Beliau dilaporkan mendakwa telah mendapati wujudnya hubungan antara kumpulan itu dengan DAP.

Musa juga didakwa berkata, Yeoh menulis sebuah buku “untuk menjadikan negara ini sebuah negara Kristian”.

Yeoh sebelum itu menerbitkan autobiografi bertajuk “Becoming Hannah, A Personal Journey”, memperihalkan perjalanan hidupnya sebagai seorang wanita Malaysia biasa yang berubah susulan kepercayaan sebagai seorang penganut agama Kristian, yang membawanya ke dunia politik.

Pada Mei 2017 buku itu mendapat kritikan seorang penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia yang menyifatkannya sebagai contoh sikap pura-pura DAP berhubung dasarnya yang dikatakan memisahkan agama dengan politik.

Yeoh menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Musa selain injunksi bagi menghalang beliau dan pihak lain terus menerbitkan kenyataan tersebut. FMT

‘Tangan ghaib’ kawal polis – Tan Sri Musa Hassan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker