‘Tangan ghaib’ kawal polis – Tan Sri Musa Hassan

PETALING JAYA: Campur tangan ahli politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didakwa berlaku sejak dahulu sehingga menganggu operasi perkhidmatan pasukan itu.

Malah, ada dalam kalangan ahli politik cuba mengawal pihak berkuasa dengan mengeluarkan arahan secara terus kepada pegawai operasi tanpa pengetahuan Ketua Polis Negara.

Perkara tersebut diakui bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa, budaya menggunakan kuasa untuk mengawal pihak berkuasa masih berterusan sehingga boleh menjadikan institusi berkenaan hilang taring.

“Ketika zaman saya dahulu, ada orang politik yang suruh polis bebaskan geng mereka dan ada juga yang beri arahan kepada ketua polis negeri tanpa pengetahuan saya.

“Campur tangan politik ini berlaku membabitkan operasi sehingga ia boleh menyebabkan proses siasatan terganggu,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menggesa agar campur tangan politik dalam urusan PDRM dihentikan segera termasuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang bukan daripada kalangan menteri.

Hamzah jangan kacau kerja KPN

Pendedahan itu dibuat pada sidang akhbar terakhir Abdul Hamid, kelmarin yang menamatkan tugasnya secara rasmi, esok sebelum digantikan dengan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas SPP dipengerusikan individu selain menteri, Musa menjelaskan, pindaan Perlembaagan Persekutuan perlu dibuat sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan.

“Ia tertakluk dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan dan perlu dipinda sekiranya tidak mahu menteri menjadi pengerusi.

“Tetapi perlu diingat, tiada pihak yang mempunyai kuasa mutlak apabila membabitkan urusan pertukaran dan pelantikan pegawai dalam perkhidmatan PDRM. Pengerusi SPP sendiri boleh memberi kuasa perwakilan kepada KPN untuk melantik atau menukar mana-mana pegawai atasan sekiranya perlu untuk berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kontrak Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara perlu disambung sehingga penyiasatan kes berhubung kartel dalam pasukan itu diselesaikan terlebih dahulu.

Katanya, tempoh sekurang-kurangya setahun diperlukan untuk menyelesaikan dan membersihkan isu dalaman membabitkan institusi berkenaan.

“Dakwaan kononnya wujud kartel sejak sebulan lalu perlu disiasat secara terperinci. Kalau PDRM lantik atau tukar mana-mana pegawai selepas penamatan kontrak Abdul Hamid, mungkin ada orang yang terlibat dalam kartel turut serta.

Gantung tugas Menteri KDN, tubuh RCI siasat dakwaan campur tangan

“Sebab itu kontrak Abdul Hamid perlu dilanjutkan sebelum adanya proses pertukaran pegawai tertinggi dilakukan apabila masuk tampuk pemerintahan baharu,” katanya.

Perkara tersebut turut di sokong pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang berpandangan, peruntukan Seksyen 15 Akta Polis 1967 (15) tidak terpakai bagi jawatan Ketua Polis Negara yang sememangnya perlu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Seksyen 15 Akta Polis 1967 (15) yang menjadi hujah dalam perbahasan jawatan Ketua Polis Negara baharu itu hanya terpakai kepada anggota di bawah selain jawatan utama. Jika ada pihak yang ingin mentafsirkan seksyen itu terpakai kepada Ketua Polis Negara sekalipun ia perlu diluaskan tafsiran bahawa Ketua Polis Negara boleh bersara atau letak jawatan dengan syor suruhan jaya.

“SPP boleh dapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Dalam pelantikan di bawah suruhanjaya ini, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri,” katanya

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak berkata, ‘perang terbuka’ antara Abdul Hamid dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu diselesaikan bagi mengelak kesan serius kerana melibatkan imej dan integriti PDRM.

Beliau berkata, apa yang dibimbangi pendedahan Abdul Hamid dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan agenda peribadi mereka.

““Satu jawatan kuasa khas perlu diwujudkan di peringkat Bukit Aman dengan kuasa yang lebih mantap membabitkan Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Isu ini perlu diselesaikan segera bagi menjaga nama baik PDRM,” katanya ketika dihubungi semalam.

‘Saya bukan biawak pemakan bangkai’ – Hamid Bador

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar pula menggesa PDRM menjalankan siasatan terhadap Hamzah berhubung pengakuan beliau tentang suara audio yang tular.

“Saya terbaca di laporan berita berhubung kenyataan Hamzah yang mengesahkan bahawa rakaman suara yang tular di media sosial berkaitan dirinya adalah benar,” katanya.

Terdahulu, Mohd. Fakhrulrazi membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini semalam.

Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, pengakuan seperti itu hanya akan menghakis keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Susulan pengakuan Hamzah, saya ingin bertanya apakah yang beliau maksudkan dengan ‘budak kita’ sepertimana dipetik dalam rakaman audio.

“Selain itu, apakah yang Hamzah maksudkan dengan ‘it will be very good for us’. Siapakah us yang dimaksudkan dalam konteks perbualan itu,” soalnya dalam satu kenyataan, semalam. – UTUSAN

 

Urusan Penjawatan PDRM Perlu Campur Tangan YDPA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker