‘Saya bukan biawak pemakan bangkai’ – Hamid Bador
Dicabar dan dipersoalkan kerana ‘lewat’ mendedahkan apa yang dianggap campur tangan menteri dalam pasukan keselamatan, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Badir berkata, dia masih ada harga diri.
Memberi respons dengan nada tegas kepada Malaysiakini, Abdul Hamid memberitahu ada sebab mengapa dia menyatakan isu yang dialaminya dalam pasukan keselamatan itu pada hari-hari terakhirnya sebagai pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain menafikan pendedahan itu tidak akan dibuat jika kontraknya disambung, Abdul Hamid menegaskan dia bukan seperti haiwan “pemakan bangkai”.
“Saya bukan biawak yang makan bangkai. Saya masih ada maruah diri,” katanya.
Terdahulu seorang pemimpin pertengahan Bersatu membangkitkan persoalan motif di sebalik tindakan Abdul Hamid mengadakan sidang media di Bukit Aman semalam.
Abdul Hamid akan bersara secara rasmi pada Isnin ini dan tempatnya akan digantikan Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Dalam sidang media itu Abdul Hamid tersebut secara terbuka mendedahkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin campur tangan dalam pelantikan pegawai polis.
Hari ini Ketua Ketua Bersatu Kepong Norizan Ali berkata jika benar dakwaan campur tangan itu berlaku sejak hari pertama Hamzah dilantik sebagai menteri dalam negeri, mengapa selama ini Abdul Hamid hanya berdiam diri.
Hentikan ‘dosa keringmu’, Hamid nasihati pengkritiknya
“Adakah jika khidmat Abdul Hamid disambung lagi sebagai ketua polis negara, dia tetap akan bersuara dengan nada yang sama atau tiba-tiba memuji Hamzah?” soal Norizan dalam kenyataannya.
Untuk rekod Hamzah merupakan ahli parlimen Umno yang melompat menyertai Bersatu selepas BN dikalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu.
Selepas Bersatu keluar PH – dan menyebabkan gabungan itu jatuh sebagai kerajaan yang mendapat mandat rakyat – Hamzah dilantik menjadi menteri dalam negeri serta setiausaha agung Bersatu.
Dalam reaksinya hari ini Abdul Hamid juga menasihatkan agar pihak yang tidak senang dengan kenyataan dibuatnya mengenai campur tangan politik dalam PDRM agar lebih berhati-hati.
“Bagitau dia, jangan buat dosa kering!” katanya.
Menjawab persoalan mengapa kenyataan sebegitu tidak dibuat lebih awal, bekas pengarah Cawangan Khas Bukit Aman itu menjelaskan selama ini dia sibuk mengejar masa untuk membetulkan kepincangan dalaman PDRM.
“Hanya akhir-akhir ini, iaitu semakin hampir tarikh tamat kontrak perkhidmatan saya – semakin ketara campurtangan menteri untuk mengatur ‘budak-budak kita’ bagi mengisi jawatan2 penting,” katanya.
You must be logged in to post a comment.