Hentikan ‘dosa keringmu’, Hamid nasihati pengkritiknya


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata pihak yang menyelarnya kerana membongkar campur tangan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dalam urusan polis, patut berhenti melakukan “dosa kering”.

“Bagi tau dia, jangan buat dosa kering!” kata Hamid, setelah Ketua Bersatu Kepong, Norizan Ali membidas beliau dan menuntut penjelasan kenapa berdiam diri selama ini mengenai dakwaan campur tangan itu.

Hamid turut menolak tanggapan Norizan bahawa beliau mengkritik Hamzah kerana kontraknya sebagai KPN tidak dilanjutkan.

“Saya bukan biawak yang makan bangkai. Saya masih ada maruah diri,” kata Hamid dipetik Malaysiakini.

Semalam, Hamid menuduh Hamzah menyalahgunakan kedudukannya untuk campur tangan dalam urusan polis, termasuk menyekat pertukaran pegawai polis bermasalah.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah, dicemari unsur politik.

Hamid berkata, tindakan beliau mendedahkan campur tangan Hamzah itu di ambang persaraannya kerana beliau sibuk mengejar masa selama ini untuk membetulkan kepincangan dalaman pasukan polis.

Katanya, pendedahan semalam juga didorong hakikat campur tangan Hamzah semakin terserlah untuk mengatur pegawai pilihan beliau bagi mengisi jawatan penting.

“Hanya akhir-akhir ini, iaitu semakin hampir tarikh tamat kontrak perkhidmatan saya, semakin ketara campur tangan menteri untuk mengatur ‘budak-budak kita’ mengisi jawatan-jawatan penting,” katanya.

Hamid akan bersara secara rasmi Isnin ini dan tempatnya akan digantikan Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebelum ini, Hamid beberapa kali menegaskan beliau tidak keberatan bersara seperti dijadualkan, namun bertekad membanteras “kartel polis”, iaitu pegawai atasan yang bersekongkol dengan penjenayah. FMT

Hamid kalau anak jantan masuk politik, lawan Hamzah di Larut, cabar PPBM Kepong

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker