Pemansuhan UPSR bakal teroka potensi sebenar murid

PETALING JAYA – Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya mulai tahun ini bakal membuka jalan kepada sekolah meneroka potensi sebenar seseorang murid selepas proses pengajaran dan pembelajaran tidak lagi berorientasikan peperiksaan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, pemansuhan UPSR adalah wajar kerana ia tidak sesuai dengan prinsip pendidikan untuk golongan kanak-kanak.

Justeru, katanya, keputusan Kementerian Pendidikan memansuhkan UPSR perlu disambut baik oleh semua pihak kerana ia bukan suatu tindakan yang terburu-buru sebaliknya sudah lama diperbincangkan.



“Kanak-kanak pada usia 12 tahun masih dalam proses pertumbuhan pemikiran, emosi serta tingkah laku dan itu yang sepatutnya dikendalikan sekolah.

“UPSR telah membunuh pertumbuhan terbabit kerana murid dan guru sekolah dipaksa menumpu kepada peperiksaan semata-mata,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

ANUAR

Anuar berkata, prinsip pendidikan kanak-kanak mendedahkan mereka kepada pelbagai perkara yang akan membentuk sahsiah dengan meneroka banyak perkara baharu.

Justeru, katanya, tanpa UPSR, pembangunan bakat murid dapat diperkasakan berdasarkan kecenderungan dan kelebihan mereka seperti seni, sukan, debat dan sebagainya.



“Selama ini potensi anak-anak kita yang masih kecil dinilai berdasarkan keputusan UPSR semata-mata yang sangat terhad ukurannya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemansuhan UPSR merupakan cabaran besar buat guru kerana perlu memiliki hala tuju baru dalam pengajaran dan melakukan penaksiran yang adil, saksama serta berintegriti.

Sementara itu, pakar pendidikan dan sosiologi, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, zaman murid diasak supaya berusaha mendapatkan semua A dalam peperiksaan telah berlalu.

“Sekarang zaman belajar melalui tindakan, penglihatan dan pendengaran. Tiada lagi formula siapa dapat banyak A itu yang hebat. Itu 20 atau 30 tahun lepas.



“Sekarang sudah tidak relevan. Ulat buku bukan lagi menjadi penanda aras kecemerlangan dalam revolusi industri 4.0,” katanya.

MOHAMMAD SHATAR

Kata beliau, majikan zaman ini akan melihat nilai tambah yang ada pada seseorang dan nilai itu hanya terbentuk pada diri seseorang jika ia disemat dari sekolah rendah.

Jelas beliau, nilai tambah itu termasuk dalam aspek kemampuan berfikir secara kritis, kepimpinan, perhubungan dan komunikasi.

“Murid sekolah rendah akan melalui proses pembelajaran dalam konteks yang seronok dan permainan tanpa UPSR,” katanya.



Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin pula berkata, UPSR bukan satu-satunya kaedah untuk mengukur keupayaan intelek murid kerana ia merupakan kaedah pengukuran sumatif.

RAFIDAH AGA

Menurut beliau, terdapat juga kaedah lain dalam aspek pengukuran dan penilaian iaitu kaedah formatif pengukuran berkala yang dilakukan sepanjang proses pembelajaran.

Kata beliau, kaedah penilaian formatif lebih konsisten dalam mengukur keupayaan intelektual murid.

Justeru, katanya, UPSR wajar dimansuhkan kerana ia bersifat “exam-based” yang mengundang gangguan kesihatan mental murid seperti “exam anxiety” dan stres. -K! ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker