Ikut jejak langkah keluarga masuk Islam selepas 20 tahun



Sebaran :

RAWANG – Seorang pemandu lori yang pernah menentang tindakan keluarganya memeluk Islam kira-kira 20 tahun lalu mendapat hidayah dan melafazkan syahadah dua bulan lalu.

Muhammad Ravi Thamboo, 41, berkata, dia pernah lari dari rumah keluarganya di Taiping ke Pulau Pinang sebagai protes dengan tindakan ibu bapa dan dua beradik lain yang mengambil keputusan memeluk Islam.

Menurutnya, ketika itu dia tidak boleh menerima keputusan keluarga yang dirasakan seolah-olah memaksanya yang belum bersedia meninggalkan agama asal.



“Bagaimanapun, ketika mengucap syahadah, tiada siap yang memaksa kerana ketika itu jiwa saya kosong dan mengalami depresi sehingga pernah cuba membunuh diri.

“Saya tertekan dengan hidup dan mengalami masalah pekerjaan dan isteri keluar daripada rumah. Saya mengadu kepada kawan dan dia banyak menasihatkan untuk mendekatkan diri dengan agama, kembali kepada fitrah.

“Saya ambil masa selama sebulan untuk berfikir sebelum mengambil keputusan memeluk Islam. Alhamdulillah, selepas mengucap syahadah jiwa tenang dan masalah selesai satu persatu,” katanya kepada Sinar Harian.



Dia ditemui ketika menemani isterinya Nur Shanti Krishnan, 33, bersama tiga anaknya, Siti Sarah Muhammad Ravi, 12, Siti Sapura Muhammad Ravi, 4, dan Muhammad Sagaathevan Muhammad Ravi, 2, mengucap syahadah di Surau Taman Idaman, Serendah pada Khamis lalu.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Selangor, Muhammad Fitri Abdullah.

Sementara itu, Nur Shanti Krishnan berkata, dia terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu namun menyokong keputusan tersebut.



“Ketika mengetahui dia memeluk Islam saya terkejut dan marah namun selepas itu saya terima kerana keluarga suami juga semuanya memeluk Islam lebih awal.

“Semasa kami mula-mula berkahwin, saya ada berbincang untuk memeluk Islam bersama namun ketika itu ditolak kerana belum bersedia.

“Walaupun saya dan keluarga mertua berlainan agama namun kami rapat. Masa saya kahwin juga mereka hadir. Saya orang pertama memberitahu mereka yang suami telah masuk Islam dan mereka sangat gembira,” katanya.



Katanya, keputusan memeluk Islam dilakukan secara sukarela kerana masih sayangkan suami dan demi masa depan anak-anak.

“Lagipun saya lihat suami banyak berubah selepas masuk Islam. Jika sebelum ini ada saja masalah yang dilakukan tetapi kini dia nampak gembira dan lebih bertanggungjawab.

“Saya harap kami akan terus belajar mendalami agama dan sama-sama membimbing antara satu sama lain untuk menjadi seorang Islam yang baik,” katanya.



Dalam pada itu Muhammad Fitri berharap masyarakat turut sama membimbing mualaf mempelajari Islam.

“Tanggungjawab membimbing mualaf ini bukan terletak kepada Perkim dan pejabat agama sahaja tetapi dalam kalangan masyarakat juga perlu ambil tahu, ziarah, bertegur sapa dan ajak mereka ke surau serta masjid.

“Ia akan beri dorongan dan mualaf juga akan rasa seperti ada keluarga besar. Kita kata Islam ini bersaudara, jangan hanya sebut tapi praktikkan. Ia akan memberi lebih keyakinan kepada mualaf,” katanya.




Sebaran :


Leave a Reply