Melaka United nafi Apek merajuk
KETUA Pegawai Eksekutif Melaka United Football Club (MUFC), Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menafikan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat merajuk dan mahu meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan akan datang.
Menurutnya, Melaka United masih memerlukan khidmat pemain tersebut dan tidak pernah berhasrat untuk melepaskan bekas penjaga gol skuad kebangsaan itu.
“Mana ada khabar angin. Tak adalah merajuk. Melaka United masih memerlukan khidmat Khairul Fahmi untuk menjaga gawang Melaka United. Tidak ada istilah merajuk ke apa. Khairul Fahmi seorang yang gentleman dan baik.
Terdahulu, ketiadaan Khairul Fahmi dalam kesebelasan utama pasukan ketika menentang Perak FC pada Ahad lalu menimbulkan khabar angin penjaga gol berusia 32 tahun itu bakal meninggalkan pasukan pada jendela perpindahan nanti.
Dalam aksi di Stadium Ipoh itu, tempat penjaga gol utama diisi oleh Norazlan Razali dengan ramai peminat skuad Hang Jebat menyifatkan Khairul Fahmi mungkin direhatkan selepas persembahan kurang konsisten dipamerkannya.
Sementara itu, Mohd Saiful turut menafikan Khairul Fahmi mengalami kecederaan sekali gus disisihkan dalam perlawanan yang menyaksikan Melaka United meraih kemenangan 1-0 ke atas Perak FC.
You must be logged in to post a comment.