Sharnaaz Ahmad Punca Keretakan Hubungan Azira Shafinaz De FAM Dengan Yasser? Ini Penjelasan Tuan Punya Badan..
Sharnaaz Ahmad dikatakan punca keretakan hubungan Azira Shafinaz dan Yasser. Tak boleh berdiam akhirnya Azira dedahkan hubungan
sebenar dia dengan Sharnaaz Ahmad.
Sebelum ini bertahun-tahun Azira Shafinaz bercinta dengan seorang jejaka bernama Yasser namun sayang jodoh tak panjang kahirnya mereka putus.
Namun tegas Azira, keretakan hubungan dengan bekas kekasihnya itu langsung tiada kena mengena dengan Sharnaaz Ahmad.
“Saya berkawan dengan Sharnaaz seperti orang lain juga. Saya akui, kami makin rapat selepas menjalani penggambaran drama Isteri Misteri. Bagaimanapun, saya memang baik dengan semua pelakon lain. Layanan saya sama sahaja.
“Ramai yang salah tafsir. Seperti kita ketahui, keletah Sharnaaz tidak boleh diduga. Sharnaaz suka bergurau dan mengacau orang. Itu sememangnya karakter Sharnaaz.
“Saya rasa mungkin orang luar nampak kami serasi, jadi mulalah orang bercakap soal kami. Bagaimanapun, Sharnaaz bukannya punca keretakan hubungan saya dan Yasser,” katanya kepada BH Online.
Tambah penyanyi dan pelakon ini, dia masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang.
“Buat masa ini, saya dan Yasser hanya selesa berkawan. Kami berjalan mengikut arus.
“Saya dan Yasser sibuk dengan kerjaya. Mungkin belum sampai masa untuk kami memutuskan mendirikan rumah tangga. Jadi, sekarang kami mengambil rentak perlahan dengan berkawan sahaja. Saya percaya jika ada jodoh tidak akan ke mana.
“Diakui, saya menyimpan hasrat mahu berkahwin pada usia 30 tahun, tetapi apakan daya, jodoh belum tiba. Sebagai manusia, kita hanya merancang, tetapi Allah juga yang menentukannya.
“Saya terima dengan hati terbuka sekiranya belum bertemu jodoh, tahun ini. Saya tak mampu menolak kehendak takdir. Jadi, buat masa ini, saya mahu fokus kepada kerjaya. Jika boleh, saya mahu menikmati peluang yang terbentang depan mata,” katanya.
Enggan memanjangkan isu berkenaan, Azira berkata, dia mahu memberikan sepenuh perhatian pada kerjaya, apatah lagi, kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
“Saya baru nak memulakan perniagaan. Insya-Allah, saya akan mengusahakan perniagaan makanan, tidak lama lagi. Buat masa ini, saya sibuk dengan proses persediaan.
“Sebenarnya, sudah lama saya menyimpan hasrat membuka bisnes sendiri. Sekarang bulan Ramadan, jadi mengapa tidak saya berniaga makanan, sesuai dengan bulan ini.
“Jika tanya kenapa saya memilih perniagaan makanan. Ini kerana saya tidak mahu berhenti daripada melakukan sesuatu yang baru. Daripada menari, menyanyi, berlakon dan mengacara sebab saya mahu jadi versatil. Orang kata rezeki tak pernah salah alamat selagi kita berusaha,” katanya.
Berbicara mengenai kerjaya lakonan, Azira berkata, dia bersyukur ramai yang mula nampak prestasi lakonannya semakin baik menerusi filem Penunggang Agama yang berjaya meraih kutipan RM2 juta dalam tempoh dua minggu sejak ditayangkan di Astro First.
Katanya, dia bersyukur apabila menerima banyak komen positif menerusi watak Ustazah Anna.
“Awalnya, saya gementar sebab ini adalah kali pertama saya membawakan watak Ustazah. Alhamdulillah, penerimaan penonton terhadap lakonan saya positif.
“Jujurnya, saya tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi apabila peminat memberikan komen positif membuatkan saya rasa dihargai,” katanya.
Tambah Azira, dia juga berterima kasih kepada pelakon senior yang banyak membantunya memperbaiki mutu lakonan.
“Saya selesa bergandingan dengan Zul Ariffin memandangkan kami sudah bekerjasama beberapa kali sebelum ini.
“Pelakon lain juga memberikan 110 peratus komitmen, itu membuatkan saya rasa lebih bersemangat. Lagipun, saya bekerja dengan mereka yang bukan calang-calang orang dalam filem ini.
“Saya sememangnya minat berlakon sejak bersama De Fam lagi. Apabila minat, saya meletakkan sepenuh jiwa dalam kerjaya lakonan. Pengalaman mengajar saya memahami selok belok dunia lakonan, ditambah dengan ilmu dikutip ketika bekerjasama pelakon berpengalaman,” katanya yang turut membintangi filem Talbis Iblis dan Air Force.
Biarpun sibuk dengan lakonan dan perniagaannya, pelakon drama Penjara Janji itu tidak sesekali mengetepikan De Fam.
Katanya, De Fam sedang berusaha mengeluarkan single terbaharu.
“Walaupun fokus dengan kerjaya solo, namun, kami tetap ada perancangan mahu mengeluarkan single baharu, tahun ini. Ia masih dalam proses perbincangan dalam memilih karya yang terbaik.
“Satu hal mengenai De Fam, kami sangat menitik beratkan soal kualiti. Jadi, kami perlu memastikan mengeluarkan lagu yang betul-betul bersesuaian dengan De Fam.
“Jika boleh, kami mahu menampakkan De Fam makin lama makin matang, bukannya kekal di takuk lama. Disebabkan itulah, kami mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan lagu baharu,” katanya.
You must be logged in to post a comment.