Kontraktor cap ayam

Kontraktor cap ayam

Pada hujung Januari 2020, pelakon cantik, Rozita Che Wan ‘naik hantu’ apabila kontraktor yang diupah didakwa gagal menyiapkan projek pengubah suaian rumahnya.

Rozita menerusi Instagramnya memaklumkan bahawa rumah banglo miliknya masih belum disiapkan sedangkan sudah dua tahun proses ubah suai itu dilakukan.



Paling menyakitkan hatinya apabila kontraktor terbabit turut lari menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Menurutnya, dia sudah membelanjakan wang jutaan ringgit untuk projek pengubahsuian itu dan tidak mampu bersabar dengan hasilnya.

“Siapa yang mampu bersabar selepas dua tahun, kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan rumah saya tidak siap-siap. Apabila mengupah kontraktor tempatan atas niat membantu, inilah hasilnya.

“Bukan hendak memalukan orang kita, tetapi inilah hakikat yang saya hadapi. Kita bagi rezeki, mereka kerja main-main. Saya lantik kontraktor ini atas saranan teman. Nampaknya, kadang-kadang, cadangan kawan pun tak boleh pakai,” katanya.



Rozita memaklumkan bahawa pengubahsuaian kediamannya sepatutnya disiapkan pada 10 Januari 2020 berdasarkan perjanjian.

“Bayangkanlah, kalau tak bayar duit, kerja ubah suai tak jalan.

“Apabila kita bayar, sikit-sikit minta wang (tambahan) lagi. Mungkin mereka guna duit secara tidak betul sehingga menyebabkan kerja tergendala.

“Peruntukan membayar (gaji) pekerja dan membeli bahan binaan juga mungkin tergendala.



“Balkoni, lantai itu dan ini semuanya tak siap. Akhirnya mereka lari.

“Sekarang saya terpaksa buat pelan B dengan melantik kontraktor baharu menyudahkan semua kerja,” katanya.

Sepanjang tempoh itu, dia diberi pelbagai alasan seperti sudah berpindah pejabat, kakitangan berhenti kerja dan bermacam-macam perkara lain.

“Lucunya, foto dan video proses pengubahsuaian rumah saya dipromosikan pada akaun Facebook milik kontraktor terbabit. Kerja tak siap, ada hati pula hendak perkenalkan perkhidmatan mereka kepada orang lain,” katanya.



Selepas empat tahun menanti, Rozita bersama suami, Zain Saidin dan anak-anak bersyukur apabila kediaman bernilai RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya, akhirnya boleh diduduki.

Rozita atau mesra disapa Che Ta memberitahu, mahligai itu menjadi hadiah bermakna bagi sambutan hari jadinya yang ke-50, pada 9 Mac lalu.

Impian ubah suai rumah ibu bapa lebur ditipu kontraktor

Pelakon Amyra Rosli, 32, pernah mengimpikan untuk mengubah suai rumah ibu bapanya dengan membayar kos berjumlah RM240,000 kira-kira setahun yang lalu.



Dia kemudiannya kecewa ditipu apabila hasil ubah suai kediaman dilakukan oleh kontraktor pakar hiasan dalaman yang dilantik tidak seperti mana dijanjikan.

Dia dan suami, Amar Baharin, 38, mendapati kontraktor dilantik tidak benar-benar menuruti kehendak diperbincangkan sebelum ini.

“Bukan mereka tak boleh buat kerja tapi hasil kerja tak setimpal, sambil lewa dan kualiti barangan amat teruk. Bila rumah itu siap, terdapat tompok air pada dinding…memang bukan kualiti diharapkan,” katanya.

Walaupun kesal, Amyra dan suaminya enggan memanjangkan isu syarikat kontraktor yang gagal mengubah suai rumah ibu bapanya seperti dijanjikan.



Amar berkata, mereka sudah melaburkan wang sebanyak RM240,000 kepada kontraktor itu sebelum menghentikan khidmat mereka.

“Kami tarik diri kerana saya tak boleh dan tak sanggup tengok hasilnya. Saya cakap kepada Amyra supaya baki bayaran terakhir jangan dibayar.

“Anggaplah yang sudah dilabur itu bukan rezeki. Kami tiada terfikir nak ambil tindakan atau apa,” katanya.

Pasangan ini akhirnya bertindak mengupah kontraktor baharu untuk menyambung semula kerja ubah suai yang terbengkalai.

Akhirnya, rumah itu dapat disiapkan menjelang Aidilfitri lalu dan sekali gus membolehkan ibu bapa Amyra meraikan Aidilfitri dengan gembira.

CIDB terima 150 aduan

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerima 150 aduan membabitkan penipuan pengubahsuaian rumah oleh kontraktor sejak Januari 2022 hingga Jun 2023. Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, berkata, kebanyakan kes penipuan yang berlaku adalah membabitkan kontraktor tidak berdaftar.

“Berdasarkan rekod laporan aduan penipuan pengubahsuaian rumah, kami menerima sekitar 150 kes dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini iaitu 114 aduan untuk tahun 2022 dan 38 aduan untuk tempoh Januari hingga Jun 2023.

“Kes diterima termasuk kes kontraktor melarikan diri, kontraktor tidak menyiapkan projek dalam tempoh dipersetujui atau tidak mengikut spesifikasi.

“Sebahagian besar membabitkan kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB selain tiada perjanjian yang sah di antara kontraktor dan pemilik rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ahmad ‘Asri lagi, tindakan pemilik rumah mengambil jalan singkat dengan mengupah tukang rumah warga asing juga memburukkan lagi situasi berkenaan.

“Tindakan pemilik rumah mengambil jalan pintas dengan mengupah tukang rumah warga asing menyebabkan rumah disiapkan tidak mengikut pelan diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kami menyarankan pemilik rumah menggunakan khidmat kontraktor yang berwibawa dalam kerja mengubah suai rumah,” katanya.

Pencarian nama kontraktor yang berdaftar boleh dibuat melalui laman sesawang CIDB www.cidb.gov.my

Risiko guna khidmat individu tak daftar LAM

Semua khidmat ditawarkan penggiat industri seni bina termasuk perekabentuk dalaman tertakluk di bawah Akta Arkitek 1967 [Akta 117].

Golongan profesional dan berkemahiran itu perlu berdaftar di bawah Akta 117 yang dikawal selia Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) bagi memastikan kepentingan pemilik kediaman atau mereka yang mendapatkan khidmat berkenaan.

Presiden LAM, Datin Ar Yong Razidah Rashid, berkata, tindakan orang ramai menggunakan khidmat golongan tidak berdaftar dengan LAM adalah keputusan berisiko terutama dalam hal berkaitan keselamatan penghuni kediaman.

“Perekabentuk dalaman (interior designer) antara profesional dikawal selia oleh LAM selaku badan berkanun di bawah Kementerian Kerja Raya. Peruntukan di bawah Seksyen 27C, Akta 117 menyatakan, perekabentuk dalaman layak memberikan khidmat reka bentuk dalaman selaras dengan peruntukan dinyatakan mengikut Seksyen 27E(1).

“Peruntukan itu dengan jelas menyatakan hanya pengamal yang berdaftar layak menawarkan rundingan dan khidmat mereka bagi kerja rekabentukdalaman.

“Di bawah khidmat itu terdapat perincian penting yang mengambil kira keselamatan dan kepentingan pemilik kediaman,” katanya.

Tambah Yong Razidah, pihaknya menasihati orang awam mendapatkan perkhidmatan rekabentuk dalaman daripada perekabentuk dalaman atau arkitek bertauliah dan berdaftar dengan LAM.

Semak latar belakang elak ditipu

Orang ramai perlu bijak memilih perunding atau pereka bentuk dalaman berkelayakan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan berkaitan kerja pengubahsuaian rekaan dalaman bangunan.

Pengasas Mamyhome Sdn Bhd, Amin Yussoff berkata, tindakan orang ramai yang mengupah individu sebarangan untuk mengubahsuai ruang dalaman boleh mendedahkan pelbagai risiko kerugian wang ringgit, keselamatan serta kesejahteraan penghuni.

“Orang ramai perlu buat semakan latar belakang pihak diupah termasuk reputasi dan kerja pernah dilakukan sebelum ini.

“Antara maklumat penting adalah lokasi pejabat operasi syarikat dipilih. Semak status ahli pasukan atau pekerja bagi memastikan tiada ruang diri ditipu pihak tertentu.

“Berdasarkan pengalaman saya selama 16 tahun, ramai menjadi mangsa kepada penipuan kes berkaitan kerja hiasan dalaman.

“Kebanyakan kes membabitkan kerja yang tidak siap atau pereka dalaman dan kontraktor lari. Ia turut ada kaitan dengan sikap orang ramai yang mahukan khidmat pengubahsuaian pada harga murah,” katanya.

Beliau berkata, pemilik rumah sanggup mengambil risiko dengan menerima tawaran orang ketiga seperti tukang rumah warga asing, kontraktor dan juga pereka hiasan dalaman atas talian atas faktor tawaran harga rendah.

“Tindakan itu akhirnya memakan diri apabila mereka menjadi mangsa insiden ‘klise’ membabitkan kediaman tidak siap atau terbengkalai.

“Lima permasalahan kerap saya temui ialah pereka dalaman atau kontraktor ambil duit dan lari. Ada juga ambil duit dan buat kerja separuh baru lari.

“Pelanggan terpaksa tokok duit kerana didakwa modal bahan mentah tidak mencukupi namun kerja masih tidak siap. Janji lain tetapi hasil lain dan tidak kurang juga wujud kartel didalangi pihak tertentu untuk tujuan menipu.

“Pemilik perlu melakukan persiapan termasuklah mengetahui kebiasaan atau standard dalam aliran kerja ubahsuai atau binaan.

“Kebiasaannya pemberi khidmat kerja suai bina atau reka dalaman memiliki perancangan teliti kerja termasuklah pelan tiga dimensi, jadual perkembangan (progress work), pergerakan relevan dengan kerja iaitu turun ke lapangan untuk melawat tapak dan sebagainya.

“Tetapi dalam kes tipikal, mangsa kes kerja hiasan dalaman bangunan terbengkalai, pereka dalaman dikenali menerusi rangkaian media sosial TikTok, Instagram, Google Review dan FB hanya bermodalkan air liur,” katanya.

Amin Yusoff menyarankan pemilik kediaman mengambil jalan selamat dengan mengupah pereka dalaman berdaftar dengan Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) kerana pengamal industri itu tertakluk dengan etika dan profesionalisme dikawal oleh badan itu.

Kesal termakan janji kosong ‘pereka dalaman’

Bermodalkan foto cantik hiasan dalaman bersama tawaran harga lebih rendah berbanding pasaran adalah antara ‘janji kosong’ popular ditaburkan kepada pemilik rumah.

Bukan sahaja hasil tidak seindah khabar, ada juga terpaksa ‘makan hati’ apabila pereka dalaman diharapkan ‘cabut lari’ meninggalkan tugasan separuh jalan.

Itu antara pengalaman mangsa kepada pereka dalaman ‘tin kosong’ yang bukan sahaja tidak memiliki kelayakan melakukan kerja reka bentuk dalaman malah mengupah pekerja asing sebagai orang tengah.

Usahawan makanan tempatan yang mahu dikenali Lia, 30-an, berkata, dia kerugian lebih RM150,000 apabila kerja pengubahsuaian pejabat utamanya gagal disiapkan individu bernama Al yang memperkenalkan diri sebagai pereka dalaman.

“Saya mengetahui khidmat Al (pereka dalaman) menerusi salah seorang pekerja yang berkongsi tawaran menarik individu terbabit pada tahun 2017.

“Saya terus bersetuju mengupah Al bagi kerja pengubahsuaian pejabat baru sebaik meneliti FB dan IG kontraktor itu. Saya tertarik dengan hantaran dimuat naik dalam akaun itu,” katanya.

Lia berkata, dia tidak berasa sangsi kerana portfolio Al dalam media sosial begitu menyakinkan dan bertindak membayar RM50,000 sebagai pendahuluan sebelum melunaskan baki pembayaran kira-kira enam minggu berikutnya.

“Saya yakin kerana dia memberi jaminan kerja ubahsuai pejabat itu dapat disiapkan dalam tempoh kurang empat bulan seperti rekaan yang kami persetujui.

“Setelah tiga hari pembayaran pendahuluan untuk kerja awal termasuk pembelian barang binaan dilakukan, empat pekerja asing muncul untuk memulakan kerja.

“Namun memasuki bulan kedua, saya melihat perkembangan kerja sangat perlahan dan tidak banyak beza berbanding struktur asal.

“Saya hilang pertimbangan apabila masuk bulan keempat apabila pekerja ubahsuai tidak kelihatan lagi. Al juga berdiam diri,” katanya. HM

Kontraktor cap ayam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Nabi Adam turun di Gunung Jerai, Saidina Uthman pernah ke Kedah antara dakwaan gila penceramah PAS yang mengelirukan – PM

Inspektor Sheila cari calon suami untuk jumpa ayahnya

Papagomo kalah debat dengan Wan Mahussin?

Pernikahan Shuib-Watie, Jep Sepahtu dedahkan beliau tidak dijemput

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker