Yang demam Aurel, yang sah positif Covid-19 Atta Halilintar
Personaliti media sosial dan pemilik kandungan YouTube Indonesia, Atta Halilintar awalnya berasa risau melihat keadaan isterinya, Aurel Hermansyah, yang mengalami demam selama beberapa hari.
Bagi dirinya sendiri, Atta berasa lebih yakin kerana sebagai bekas pesakit Covid-19 dia sepatutnya sedar sebarang perubahan yang berlaku pada dirinya.
Namun ketika melakukan ujian saringan untuk menaiki pesawat udara dari Jakarta ke Solo untuk urusan kerja, nasib berubah menjadi sebaliknya. Atta, 26, disahkan positif wabak itu.
Dia – yang memiliki 27 juta subscriber YouTube – memaklumkan berita berkenaan kesihatannya kepada oran ramai melalui Instagram malam tadi.
“Ya Allah, aku terkejut. Aku positif Covid-19 lagi untuk kali kedua. Ia dimaklumkan selepas ujian saringan untuk kerja di Solo. Ternyata hasilnya positif,” tulisnya.
Bersama mengiringi hantaran itu, dia memuat naik gambar dia terlantar di atas katil sambil diperiksa oleh doktor.
Dengan perkembangan itu juga Atta dan isterinya – anak sulung Anang Hermansyah dan Krisdayanti – diminta tidak ke mana-mana untuk tempoh sekurang-kurangnya lima hari.
“Dari kelmarin badan Aurel panas, aku sangka dia positif, tapi ternyata aku rupa-rupanya.
“Isteriku turut diminta untuk tidak ke mana-mana untuk lima hari mendatang kerana dia tidur dengan aku setiap hari,” katanya.
Atta atau nama penuhnya Muhammad Attamimi Halilintar mengingatkan sesiapa yang berjumpa dengan dia atau Aurel, 22, sejak beberapa hari lalu agar segera melakukan ujian saringan Covid-19.
Dia pada masa sama memohon maaf kerana tidak dapat melaksanakan tugasnya di Solo.
“Semoga tidak berlarutan hingga lebaran Ya Allah. Untuk teman-teman yang berjumpa aku dan isteri, mohon segera lakukan ujian ya.
“Maaf teman-teman di Solo, aku dah teruja sangat nak ke sana.
“Semoga selepas sembuh tetap berpeluang ke sana. Aku akan kembali lebih kuat. Insya-Allah,” katanya.
Untuk rekod sebelum Atta, adiknya – Muhammad Thariq Halilintar – terlebih dulu disahkan positif Covid-19 dan sehingga kini masih melakukan kuarantin kendiri.
Selain Atta, selebriti Indonesia lain yang dijangkiti Covid-19 buat kali kedua adalah bekas isteri Ahmad Dhani, Maia Estianty. Ibu tiga anak itu sembuh selepas enam hari disahkan positif wabak tersebut. Mk
You must be logged in to post a comment.