Hina Raja-raja Melayu : 2 NGO lapor polis ke atas Sanjeevan

KUALA LUMPUR: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap Sanjeevan Ramakrishnan atas dakwaan menggunakan gelaran kebesaran dari Istana Pahang walaupun ada bukti panggilan tersebut telah ditarik balik.

NGO berkenaan, KRAMAT membuat laporan polis di Ibu Pejabat Dang Wangi di sini manakala NGO lain, Gabungan NGO Lembah Klang berbuat demikian di Ibu Pejabat Polis Cheras berhubung isu yang sama.

Ketua Aktivis KRAMAT, Hamdan Mohd. Salleh berkata, pihaknya mahu bertindak atas dasar mempertahankan institusi Raja-raja Melayu dari terus dipermainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab.



“Kami minta polis siasat kerana merasakan tindakan Sanjeevan ini sebagai tidak jujur dan sebagai suatu penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu dengan melampirkan bukti untuk disiasat oleh pihak polis.

“Ini penting bagi mendapatkan kepastian kerana ia boleh menjadi cubaan mengelirukan semua pihak dengan menggunakan gelaran Datuk Seri walaupun secara terang dan jelas ia telah ditarik balik,” katanya dalam kenyataan.

Sanjeevan merupakan Ketua Pemuda Negara Negeri Sembilan dan Pengerusi PKN Parlimen Rasah.

Pelajar dakwa guru persendakan rogol dalam kelas



Sebelum ini, sebuah lagi NGO, Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (PEMBAKTI) juga pernah membuat laporan polis terhadap Sanjeevan atas dakwaan sama.

Pengerusi PEMBAKTI, Mohd. Zulkifli Abdul Fatah turut mempersoalkan bagaimana individu seperti Sanjeevan yang pernah membayar denda RM7,000, hilang kelayakan bertanding pilihan raya masih memegang jawatan dalam parti politik dan NGO.

Sementara itu, Ketua Gabungan NGO Lembah Klang, Faizan Mohd. Nor pula berkata, hal ini adalah sesuatu perkara yang serius kerana melibatkan nama baik pihak Istana dan gelaran yang dikurniakan oleh Sultan-sultan Melayu bukan sesuatu yang boleh dipermainkan.



“Justeru, kami membuat laporan polis ke atas Sanjeevan kerana kami mahu polis siasat jika benar beliau menggunakan gelaran dari Istana Pahang yang telah ditarik balik.

“Ini kerana kami khuatir gelaran kebesaran oleh Istana Pahang disalah gunakan untuk kepentingan peribadi kerana bukti telah menunjukkan ia telah ditarik balik,” katanya.

Jelas beliau, polis boleh mengambil tindakan tegas jika benar ia dilakukan agar mana-mana pihak yang berniat untuk menggunakan gelaran Datuk atau Datuk Seri secara palsu dan salah seperti ini tidak berani untuk melakukan sedemikian.

Tambah beliau lagi, semua NGO Melayu sangat terkesan dengan tindakan mana-mana pemimpin yang cuba untuk menunjukkan kebaikan palsu kepada umum dengan cara menggunakan darjah kebesaran pihak istana. – UTUSAN ONLINE



Raih sokongan 67%, Muhyiddin tak perlu takut panggil sidang Parlimen, kata pemimpin Umno

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker