Azlan mahu perkukuh UMNO Perlis



Sebaran :


KANGAR: Datuk Seri Azlan Man tidak mahu terburu-buru melakukan rombakan barisan kepemimpinan UMNO negeri selepas dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menteri Besar Perlis itu sebaliknya mahu mempereratkan hubungan pemimpin dan ahli UMNO negeri serta mengurangkan pergeseran atau perbezaan dalam parti.

“Buat masa ini, kita tidak harus terburu-buru dan saya harus tengok dulu sama ada perlukah satu rombakan di peringkat negeri itu dilaksanakan.



“Jika ada keperluan, mungkin kita akan lakukan (rombakan) tetapi kalau tidak ada, mungkin kita kekalkan saja sesiapa yang ada dan berkemampuan melaksanakan tugas masing-masing,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pelantikan Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu menggantikan Shahidan diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan alasan mengapa Shahidan digantikan dengan Azlan.



Bulan lalu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau secara terbuka menyatakan pendiriannya akan terus bekerjasama dengan PAS dan BERSATU selain menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Difahamkan, Shahidan yang juga Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan mengeluarkan kenyataan rasmi petang ini berhubung keputusan terbaru Ahmad Zahid itu.

Sementara itu, Azlan berkata, beliau sedia bekerjasama dengan Shahidan untuk mengukuhkan semula perpaduan kepemimpinan UMNO Perlis yang sebelum ini dilihat pincang.



“Ini untuk memastikan UMNO Perlis menjadi lebih kuat dan teguh bagi menghadapi segala cabaran di masa hadapan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih di atas kepercayaan diberikan Presiden UMNO dan seluruh kepemimpinan tertinggi parti untuk menerajui UMNO Perlis.

“Bagi saya, ini bukan keistimewaan tetapi amanah dan tanggungjawab besar yang diberikan kepada saya. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan saya,” katanya. BH



Shahidan Kassim Akhirnya Gugur Jua


Sebaran :


Leave a Reply