Pelajar dakwa guru persendakan rogol dalam kelas


PETALING JAYA: Video seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun menceritakan bagaimana guru pendidikan jasmaninya mempersendakan rogol dalam kelas semalam, tular di media sosial.

Menjawab video remaja itu di Twitter, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menggesa pengetua sekolah itu memandang serius perkara berkenaan dan menyiasat dakwaan pelajar terbabit.

“Rogol bukan satu jenaka. Guru sepatutnya memfokuskan keselamatan, bukan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini memetik bapa pelajar itu, Saiful Nizam Abdul Wahab berkata beliau akan membuat laporan polis malam ini selain menemui pegawai sekolah itu minggu depan.

Kementerian pendidikan memberitahu FMT, video itu telah dikongsikan dengan pengurusan kanan kementerian dan bahagian aduan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam mesej kepada FMT, pelajar itu mengesahkan telah memuat naik video di TikTok yang menceritakan bagaimana guru terbabit menjelaskan mengenai gangguan seksual kepada kelasnya sebelum perbualan itu berubah menjurus “jenaka yang semakin pelik dan lucah.”

“Saya rasa terganggu dan takut. Pelajar lelaki berkenaan akan dewasa satu hari nanti dan mereka bergurau mengenai rogol,” katanya kepada FMT.

Dalam videonya itu, pelajar terbabit berkata perkara itu berlaku dalam perbincangana mengenak undang-undang yang melindungi golongan bawah umur daripada penderaan atau gangguan seksual.

“Kemudian dia (guru) berkata, ‘Jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.”

Menurutnya, pelajar perempuan hanya mendiamkan diri, namun pelajar lelaki ketawa “macamlah kelakar untuk merogol seseorang.”

Video itu mendapat hampir 160,000 tontonan dan dikongsi semula 4,500 kali serta mendapat 3,690 ‘like’ sejak dimuat naik ke Twitter pelajar itu pada 6:03 pagi tadi.

Pelajar itu berkata, beliau memaklumkan kaunselor sekolah mengenai kejadian itu. Kaunselor terbabit meminta maaf atas perbuatan guru berkenaan, namun berkata adalah ‘biasa’ untuk remaja lelaki bergurau lucah.

“Sebaliknya, remaja perempuan lebih sensitif dan emosi, itu biasa,” kata kaunselor berkenaan seperti dilihat dalam tangkap layar pesanan ringkas kepada pelajar itu yang turut dikongsikan di Twitternya.

Sementara itu, All Women’s Action Society (AWAM) menyelar kejadian itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan mengecam guru yang mempunyai ‘mentaliti menyokong rogol’ seperti itu.

Tindakan pelajar itu bersuara mengenai kejadian berkenaan turut dipuji, malah AWAM menggesa lebih ramai golongan muda berbuat demikian.

AWAM juga memintanya menghubungi NGO berkenaan kerana mahu mengongsikan kisahnya bagi mewujudkan lebih banyak kesedaran terhadap budaya gangguan seksual di sekolah.

FMT telah menghubungi kementerian pendidikan untuk ulasan. FMT

Pelajar perempuan dimalukan, diraba untuk periksa datang bulan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker