Video buka puasa di restoran Cina undang kritikan netizen
PUTRAJAYA – Satu rakaman video yang dikongsi sekumpulan pemuda mengenai pengalaman berbuka puasa di restoran Cina di aplikasi TikTok mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Tindakan sekumpulan pemuda itu bukan sahaja menerima kecaman malah, ada juga yang meragui status halal dimiliki restoran makanan laut itu.
Menerusi perkongsian tersebut, mereka dilihat tanpa segan silu memasuki restoran makanan laut berkenaan tanpa memeriksa terlebih dahulu sama ada premis itu ada pengesahan sijil halal atau tidak.
Difahamkan, rakaman video itu dimuat naik di aplikasi TikTok pada hari kelima puasa yang lalu.
Difahamkan, restoran yang beroperasi di Kuala Selangor, Selangor itu sangat terkenal kerana kelazatan hidangan makanan lautnya hingga dipercayai kerap dikunjungi pelanggan yang terdiri dalam kalangan umat Islam.
Bagaimanapun, semakan status halal dilakukan terhadap restoran makanan laut itu mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Malah, semakan yang dilakukan menerusi aplikasi SmartHalal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut mengesahkan status yang sama.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zakaria Othman ketika dihubungi Kosmo! berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya memilih premis yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) khususnya bagi menikmati juadah berbuka puasa.
Beliau berkata, berbuka puasa adalah suatu ibadah justeru, sudah pasti ibadah tersebut perlu dilaksanakan dengan sempurna termasuk memilih makanan yang diyakini halal.
“Tiga panduan yang boleh diikuti bagi pemilihan premis makanan halal iaitu memastikan premis dikunjungi mempamerkan logo Halal Malaysia; mempamerkan SPHM yang asal dan masih sah tempoh serta maklumat premis halal boleh disemak menerusi Direktori Halal Malaysia.
“Harus diingat bahawa premis yang tidak memiliki SPHM tidak akan dipaparkan dalam direktori tersebut,” katanya. K Online
Lagi kes salah guna logo halal, kali ini syarikat roti, biskut
You must be logged in to post a comment.