Ahli perniagaan rentas negeri berbulan madu dijel sehari


KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang tular dikecam netizen kerana berbulan madu meraikan ulang tahun perkahwinan pada Mac lalu, masing-masing dipenjara sehari dan denda RM2,500 di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memberi maklumat bertulis palsu kepada polis bagi permohonan merentas negeri.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Azharique Shah Abdul Jalil, 23, dan isterinya Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atas mereka.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum hari ini dan penjara satu bulan sekiranya mereka gagal membayar jumlah denda itu. Kedua-duanya membayar jumlah denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pasangan suami isteri yang juga usahawan berasaskan inai itu didakwa bersama-sama semasa membuat permohonan untuk permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk merentas negeri telah memberi maklumat palsu secara bertulis.



Maklumat palsu itu telah diberikan kepada Ketua Polis Balai iaitu Asisten Superitendan Fairul Nizam Anuar untuk memberi kebenaran bertulis merentas negeri ke negeri Johor.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Wangsa Maju di sini pukul 2 petang pada 15 Mac lalu yang didakwa mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 34) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta 342.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum kerana mempunya tanggungan keluarga.



“Kami memohon tidak dikenakan hukuman pemenjaraan dan kami menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” kata Iram Naz.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan, demi kepentingan awam, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara.

Ini kerana, InstaStory yang dimuat naik oleh Iram Naz mengandungi perkataan yang tidak patut ditulis, sedangkan PKPB memberi kesan terhadap orang awam kerana tidak boleh merentas negeri.

“Walaupun kelonggaran diberi namun perlu diguna bukan untuk tujuan lain, maka saya mohon ia diambil serius oleh semua pihak tidak kira siapa agar tidak mengulangi kesalahan sama,” ujar Wan Ahmad Hakimi.



Pada 22 Mac lalu, Kosmo! Online melaporkan polis mengesahkan pasangan suami isteri yang didakwa menyalahgunakan permit rentas negeri untuk berbulan madu sebelum ini telah memberi keterangan palsu berkenaan permohonan tersebut. K Online

Ajar Cara-Cara Rentas Negeri Untuk Bulan Madu, Tindakan ‘Instafamous’ Buat Netizen Berang



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker