Tabur fitnah kerana dendam, bekas polis ditahan


Kuala Lumpur: Marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang mengambil tindakan hingga diberhentikan kerja, seorang bekas pegawai polis berpangkat Inspektor dikatakan sanggup menabur fitnah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, kecekapan polis berjaya mengesan suspek sebelum lelaki berusia 33 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah, pada 11.24 malam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, berkata suspek dipercayai menyebarkan laporan fitnah membabitkan kumpulan kartel dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman.

“Laporan tular di media sosial itu bertajuk ‘Maklumat kumpulan kartel Bahagian D7 JSJ Bukit Aman terbabit salah guna kuasa, melindungi, bersubahat, bersekongkol dan menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang’.

“Dalam tangkapan terhadap suspek itu, turut dirampas beberapa barangan seperti komputer riba, telefon bimbit, pemacu simpanan mudah alih atau ‘pendrive’, kad sim dan gajet lain yang kemudian dihantar ke makmal forensik polis untuk tujuan analisa.

“Hasil siasatan mendapati suspek sudah dijatuhkan hukuman pengawasan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) di bawah Op Mualang dilaksanakan Bahagian D7 JSJ Bukit Aman bagi mencegah aktiviti kongsi gelap di Klang, Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek juga dikesan membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota Bahagian D7 Gengsterisme Bukit Aman.

“Suspek bertindak sebegini kerana marah, tidak puas hati dan dendam terhadap pasukan siasatan yang mengambil tindakan terhadapnya hingga diberhentikan kerja.

“Suspek dikenakan tindakan hukuman pengawasan selama dua tahun di Alor Setar mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

Huzir berkata, laporan tohmahan itu ditularkan secara meluas sejak dua minggu lalu menimbulkan keraguan serta kegusaran kepada masyarakat kerana dakwaan wujud aktiviti salah laku membabitkan polis.

Sehubungan itu, katanya, polis menasihatkan orang ramai untuk menghentikan sebarang spekulasi, andaian tidak berasas dan tidak benar, selain diingatkan tidak menyebarkan isu tular di media sosial bagi mengelak kegusaran dalam kalangan masyarakat. HM

Kutip wang: 4 pegawai/anggota polis peras ugut pengurus kilang ditahan – Ayob Khan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker