Tujuh pelajar Maktab Mahmud positif Covid-19


ALOR SETAR – Seramai tujuh pelajar Maktab Mahmud di Baling dekat sini disahkan positif Covid-19, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, kesemua pelajar tersebut yang terdiri daripada enam pelajar tingkatan empat dan seorang pelajar tingkatan satu telah dibawa ke hospital.

Katanya, setakat ini pihak berwajib sedang berusaha mengenal pasti kluster yang menjangkiti pelajar sekolah agama terbabit.

“Dalam masa sama kita telah mengenal pasti seramai 80 pelajar, 23 guru serta dua penyelia asrama yang menjadi kontak rapat tujuh pelajar tersebut.

“Mereka telah dipakaikan gelang merah jambu dan menjalani ujian calitan Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Tautan Kasih Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim bersama Rakan Media Negeri Kedah di Pusat Konvensyen dan Hotel Raia di sini hari ini.

Kata beliau, keputusan menutup kelas atas keseluruhan sekolah itu bergantung kepada keputusan Jabatan Pendidikan Negeri.

Sementara itu, Mohd. Hayati turut menasihatkan orang ramai terutama pengunjung bazar Ramadan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tidak wujud penularan baharu Covid-19.

“Dalam kalangan peniaga, mungkin tidak ada masalah untuk mereka mematuhi SOP tetapi di kalangan pengunjung, kita perlu berjaga-jaga terutamanya melibatkan gerai yang menjadi tumpuan.

“Kalau boleh, tidak perlulah bawa anak-anak kecil turut sama bersesak di bazar kerana kita tidak mahu sampai nanti satu tahap di mana wujudnya kluster baharu yang menyebabkan semua pihak terjejas terutama ketika masing-masing berusaha mencari rezeki di bulan Ramadan ini,” katanya.

Beliau menambah, setakat ini penularan varian baharu dari Afrika Selatan, Brazil dan United Kingdom yang dikatakan telah memasuki negara ini, masih belum dikesan di Kedah.

“Walaupun varian itu hanya dikesan di Lembah Klang, namun kita tetap perlu berjaga-jaga. Sebab itu saya minta semua pihak supaya terus mematuhi SOP,” katanya. K Online

6 pelajar positif Covid-19, sekolah di PJ tutup

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker