Kutip wang: 4 pegawai/anggota polis peras ugut pengurus kilang ditahan – Ayob Khan


TINDAKAN seorang pengurus kilang perabot di Batu Pahat yang melaporkan kegiatan seorang pegawai dan tiga anggota polis meminta wang membawa padah kepada anggota penguat kuasa tersebut.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keempat-empat individu tersebut telah meminta sebanyak RM1,500 bagi mengelakkan daripada mereka mengambil tindakan terhadap seorang pekerja Bangladesh di kilang tersebut yang tidak mempunyai permit kerja.

Katanya, pengurus tersebut kemudiannya membayar RM1,000 dan selepas itu mereka beredar dan tiada tindakan diambil terhadap pekerja tersebut.

“Susulan daripada laporan dibuat kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, keempat-empat pegawai dan anggota polis tersebut telah ditangkap dan direman selama sehari,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Polis Johor, Johor Bahru hari ini.



Katanya, suspek yang berusia antara 26 hingga 47 tahun itu kini telah dibebaskan dan kertas siasatan terhadap mereka sedang disiapkan dan dijangka akan dituduh di mahkamah minggu ini.

Beliau berkata, kertas siasatan terhadap mereka telah dibuka di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan berkaitan dengan pemerasan yang boleh dihukum penjara selama 10 tahun, denda atau sebat.

“Insya-Allah kita sedang menyiapkan kertas siasatan dan akan menuduh mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Ayob Khan berkata, beliau difahamkan keempat-empat anggota polis tersebut telah lama menjalankan kegiatan mengutip wang dari pintu ke pintu tersebut tetapi selama ini tiada laporan dibuat.



“Saya menyeru masyarakat membuat aduan jika terdapat kes-kes sedemikian sama ada di peringkat pejabat polis daerah atau terus kepada saya,” tambahnya. Utv

Kes Pengganas LTTE: Datuk Ayob Khan kecewa kes tersebut diganggu ahli politik DAP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker