‘Pengawal Peribadi’ Bocor Rahsia Tahu Kerja Kotor Majikan
PETALING JAYA: Kumpulan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ serta judi haram membabitkan seorang ahli perniagaan yang ditahan kerana memukul dua pengawal peribadinya dipercayai aktif melakukan kegiatan itu di Selangor dan Pahang.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber mendedahkan, salah seorang daripada empat yang ditahan mempunyai gelaran Datuk, namun tidak dapat dipastikan sama ada diiktiraf atau tidak.
Jelas sumber, aktiviti perjudian yang dilakukan kumpulan itu bukanlah menerusi dalam talian tetapi lebih menjurus kepada loteri atau nombor ekor tanpa lesen.
“Mereka dipercayai menjalankan kegiatan secara diam-diam namun dikenali oleh kaki-kaki judi di sekitar Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor.
“Modus operandi yang digunakan kumpulan ini adalah menjalankan aktiviti judi melalui kedai-kedai telekomunikasi bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya di sini semalam.
(Video) : Ambulan bawa pesakit COVID-19 kemalangan di Alor Setar
Mengulas lebih lanjut, kata sumber itu, salah seorang suspek juga dikatakan ada perniagaan melibatkan keselamatan, hartanah dan kedai emas.
Jelas sumber, dua pengawal keselamatan yang dipukul itu sememangnya mengetahui aktiviti yang dilakukan majikannya itu malah seorang daripada mangsa telah bekerja selama tiga tahun manakala seorang lagi berkhidmat sebagai pengawal keselamatan kepada suspek sejak tujuh tahun.
“Bagaimanapun, siasatan masih giat dijalankan terhadap rampasan 100 kilogram jongkong emas dan 12,500 keping not kertas AS$100 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM28.25 juta,” jelas sumber tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, seorang lagi suspek ditahan di Dang Wangi dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Jelasnya, penahanan itu menjadikan sebanyak lima individu telah ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan terhadap majikan yang memukul pengawal peribadi dan rakannya hampir selesai.
Beliau memberitahu, sebaik sahaja semuanya selesai, suspek akan dicadangkan untuk didakwa selepas tamat reman.
“Selepas itu, suspek akan diserahkan ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi melengkapkan satu lagi kertas siasatan di sana.
“Pada masa sama, kami akan menghantar kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Semua pelakon video iklan judi cari ‘duit raya’ telah ditangkap, akan direman hari ini
You must be logged in to post a comment.