Hajat balik kampung untuk sambut Aidilfitri sudah boleh dilupakan!

umat Islam di negara ini dijangka tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung ketika jangkitan Covid-19 melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan.

Peningkatan jangkitan Co­vid-19 di seluruh negara yang me­lonjak kepada 2,148 kes semalam dan kegagalan rakyat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika mengunjungi pasar Ramadan meningkatkan kebimbangan kerajaan bahawa negara berdepan gelombang keempat pandemik itu.

Tiga gelombang Covid-19 telah meragut lebih 1,300 nyawa dan menyebabkan negara diletakkan di bawah dua kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan kebanyakan industri kerugian berbilion ringgit dan lebih 760,000 kehilangan pekerjaan.



Kebimbangan peningkatan Covid-19 serta gelombang keempat mendorong Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan supaya perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan pada sambutan terbesar umat Islam di Malaysia bulan depan.

“Kebanyakan negeri ketika ini masih di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) dan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 28 April ini.

“Kes harian kini terus mening­kat dan belum stabil, maka pergerakan rentas negeri perlu ditangguhkan,” kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Malaysia Health Sector Response to Covid-19: Perspectives From The Field di Putrajaya semalam.

Dr. Adham berkata, kementerian masih menunggu keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit sama ada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin boleh merentas negeri.



MRM tawar khidmat guaman percuma, pekerjaan kepada pengawal peribadi dibelasah

Katanya, banyak pihak turut bimbang dengan pelanggaran SOP di bazar Ramadan ketika mereka berpusu-pusu membeli juadah.

Susulan itu, menurut beliau, pihaknya menurunkan kuasa kepada semua penguat kuasa tempatan (PBT) gred 19 dan ke atas mengeluarkan kompaun kepada pengunjung yang tidak mematuhi SOP.



“Mungkin semalam hari kedua umat Islam berpuasa dan ramai teruja ke bazar Ramadan sebab tahun lepas tiada bazar.

“Setakat ini, belum ada kes berkait dengan kluster bazar Ramadan kerana kelazimannya proses itu mengambil 14 hari untuk pengesanan mereka yang bergejala,” kata beliau.
Susulan peningkatan semula kes beberapa hari lalu, Bukit Aman turut mengeluarkan arahan permohonan rentas negeri diperketatkan bergantung kepada alasan munasabah berkuat kuasa semalam.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara permohonan rentas negeri yang dibolehkan hanya membabitkan situasi kecemasan keluarga terdekat dan pemohon perlu lampirkan dokumen seperti kematian atau pasangan berjauhan.

“Arahan telah dikeluarkan kepada ketua-ketua polis negeri di seluruh negara,” kata beliau.
Sementara itu, di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun angka jangkitan makin meningkat bagi memastikan kemampanan ekonomi boleh digerakkan.



Di Seremban, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Co­vid-19, Khairy Jamaluddin berkata, individu yang ada tanggungan untuk bawa ibu bapa divaksin dibenarkan.

“Boleh tunjuk bukti temu janji ibu bapa mereka kepada pihak berkuasa dan kita beri kelonggaran,” kata Khairy

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker