Kartel rokok seludup sebenarnya lebih besar


KUALA LUMPUR – Kartel rokok seludup dalam kalangan agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia hendaklah dihentikan segera menerusi peningkatan operasi dan perubahan dasar, kata Datuk Seri Akhbar Satar.

Menurut pengasas dan Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia itu, kartel-kartel ini didakwa membantu pelbagai aktiviti jenayah daripada pengubahan wang haram sehinggalah kepada manipulasi tender projek.

Akhbar berkata, pendedahan mengenai kewujudan kartel beroperasi di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang negara ini sepatutnya menyedarkan semua dari lena, sekali gus menunjukkan betapa mendalam dan teruknya penyusupan penjenayah ke dalam institusi awam yang sepatutnya menegakkan undang-undang dan keamanan.

Kata Akhbar, apa yang diketahui orang ramai hanyalah sekelumit daripada permasalahan.

”Kartel-kartel yang dibongkar itu secara relatifnya `ikan kecil’ berbanding kartel rokok seludup yang beroperasi di Malaysia. Bertahun-tahun lamanya kartel rokok seludup menjadi semakin berani dan telah mencipta modus operandi baharu untuk merasuah pegawai penguatkuasaan yang tiada etika bagi melindungi jejak mereka,” katanya.

Meskipun begitu, tidak semua pegawai penguatkuasaan boleh dibeli, kartel rokok seludup ini bersedia untuk melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan ugutan, bagi mempengaruhi sesiapa sahaja untuk tunduk kepada kemahuan mereka.

Malaysia pada masa ini adalah No.1 di dunia untuk perdagangan rokok seludup, yang mana enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah produk haram.

Negara kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok ini.

”Bayangkan jumlah keuntungan yang djana oleh keseluruhan eko-sistem rokok seludup di negara ini. Hasil daripada perdagangan haram ini diraih oleh kartel-kartel ini adalah lebih daripada cukup untuk melahirkan pula `super kartel’ yang membabitkan kebanyakan, jika tidak semua agensi penguatkuasaan.

”Mereka tidak ada masalah untuk melantik peguam mewakili mereka di mahkamah dan membayar denda jika mereka ditangkap menyeludup kontraban.

”Super kartel ini diperlukan kerana kartel dagangan rokok seludup di Malaysa membabitkan rantaian nilai yang sangat sofistikated, berskala besar dan mendalam, yang merangkumi pengilangan antarabangsa, import, pengangkutan, gudang simpanan, pengedaran, peruncitan, dan malah eksport," kata beliau.

Dari segi penyelesaian untuk menangani super kartel rokok seludup, Akhbar mncadangkan supaya dimulakan dengan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) semua agensi penguatkuasaan.

Katanya, sistem penggiliran kakitangan yang berkesan seharusnya wujud di kawasan rasuah tinggi seperti Pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan darat.

”Adalah penting untuk memastikan bahawa individu yang ditugaskan memikul tugas khusus itu adalah benar-benar jujur bagi menguatkuasakan undang-undang. Mereka seharusnya dipantau secara berterusan.

”Selain itu, kajian semul secara mendalam ke atas rantaian pembekalan termasuk tetapi tidak terhad kepada perkapalan, agen forwarding, agen kastam, pengimport hendaklah dilakukan bagi memastikan titik kelemahan dapat diperketatkan dan menghalang peluang untuk salah guna,” ujarnya.

Pada Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengumumkan polis
telah membongkar rangkaian penipuan berbilion ringgit diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dengan penahanan 68 orang yang disyaki, termasuk dua bergelar Datuk Seri dan enam Datuk.

Menurut Abdul Hamid, seramai 34 pegawai dari agensi penguatkuasaan seperti polis disyaki berkomplot dengan sindiket tersebut.

Awal bulan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematahkan kartel ender projek dengan penahanan tujuh individu, termasuk ketua kumpulan.

Mereka didakwa memonopoli lebih 354 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara, bernilai RM3.8 bilion.

Mengulas lanjut, Akhbar berkata, program pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan
mengingatkan semua lapisan rakyat mengenai masalah rasuah, hendaklah dilaksanakan.

Malah, kerajaan juga seharusnya melihat kepada kaedah menambah baik kemudahan denan teknologi canggih seperti pengimbas paling terkini dan kamera litar tertutup di tempat keluar masuk yang disyaki.

Akhbar juga berkata, turut sama penting bagi menangani permasalahan akar umbi yang menyemarakkan perluasan rokok seludup di Malaysia dari perspektif polisi.

”Polisi-polisi yang memperkasa agensi penguatkuasaan kita, mengalakkan pegawai melaksanakan tugas mereka dengan bermaruah dan tanpa takut dan menghalang petualang daripada perspektif risiko keuntunan hendaklah dipertimbangkan bagi melawan super kartel ini,” tambahnya.

Tegasnya, Malaysia tidak mampu kehilangan satu sen lagi kerana negara memerlukan duit untuk memulihkan negara daripada situasi ekonomi semasa.

Lagi pun, dengan sekadar persepsi wujud super kartel beroperasi di negara ini akan mengurangkan hasrat negara luar dan syarikat asing untuk berdagang dengan Malaysia, ujarnya. MG

Jual rokok seludup kepada pelajar guna kod rahsia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker