17 kes positif setakat ini daripada varian South African B.1.351

Varian ini pertama kali dilaporkan Disember tahun lalu di UK, Afrika Selatan

KUALA LUMPUR, 2 Ramadan 1442H, Rabu – Sejumlah 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan berkata sehingga kini, analisis filogenetik serta hubung kait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama.

Katanya varian South African B.1.351 berkenaan terdapat dalam Kluster Jalan Lima di Daerah Hulu Langat dan Sepang Selangor (tiga kes); Kluster Kebun Baru, Kuala Langat, Selangor (sembilan kes); Kluster Teknologi Emas, Kuala Langat, Selangor (satu kes) dan saringan kontak rapat dengan satu kes.

Dr Noor Hisham berkata varian South African B.1.351 pada awalnya ditemukan dalam kalangan dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Kluster Jalan Lima serta satu kes masing-masing dari Kluster Kebun Baru dan saringan kontak rapat pada 18 Mac lepas.

Penemuan varian South African B.1.351 pertama kali dilaporkan di dunia pada Disember tahun lepas di United Kingdom dan Afrika Selatan.

Sejak awal tahun ini kewujudan varian itu turut dilaporkan oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, dan Korea Selatan. – Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker