Tok Mat bakal digantung seumur hidup



Sebaran :


PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail menerima tamparan hebat apabila bakal digantung seumur hidup sekiranya didapati bersalah membuat pertuduhan dengan niat menjatuhkan maruah Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam menjelaskan, badan induk sepak takraw Asia itu bakal mengambil tindakan disiplin terhadap Ahmad yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah atas kapasiti selaku Timbalan Presiden persekutuan itu.

Katanya, Ahmad berdepan empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan ­menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan yang berlangsung 1 Mac lalu.



Ahmad atau lebih dikenali ­sebagai Tok Mat sebelum ini secara terbuka mendakwa terdapat unsur penipuan pada pemilihan Astaf kali ini selepas ­beliau ­bersama dua lagi calon PSM tewas tanpa mendapat sebarang undi daripada 30 perwakilan yang dibenarkan mengundi pada pemilihan Astaf.

“Berdasarkan prosedur disiplin yang ditetapkan, tertuduh diberikan masa 14 hari untuk memberikan maklum balas.

“Selepas Jawatankuasa Disiplin Astaf menerima maklum balas bertulis, kami akan mengadakan sesi perbicaraan bagi memutuskan bentuk tindakan yang boleh diambil sama ada penggantungan, digugurkan keahlian, denda, penggantungan seumur hidup atau kombinasi beberapa hukuman.



“Pada masa sama, Ahmad digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan sepak takraw termasuk memegang sebarang jawatan di dalam persatuan sehingga perbicaraan selesai,” katanya.

Terdahulu, pertikaian membabitkan dua badan induk, Astaf dan PSM bermula selepas Ahmad berhasrat untuk mengheret Astaf ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atas dakwaan berlaku penyelewengan ketika pengundian Kongres Astaf yang berlangsung pada 1 Mac lalu. K Online

Bekas Jaguh Angkat Berat Negara…Hidayat Kini Bergelar Pemandu Grab


Sebaran :


Leave a Reply