Tanya saya esok – Ayob Khan
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan memberi penjelasan berhubung isu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’, esok.
Beliau meminta isu berkenaan dibangkitkan pada sidang media yang dijangka jam 11.30 pagi di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor.
“Esok tanya saya ketika sidang media jam 11.30 pagi, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hari ini, BH Online melaporkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman masih menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan Geng Nicky diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Pengarahnya, Datuk Zamri Yahya, dilaporkan berkata pihaknya memerlukan senarai itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.
Sebelum ini, media melaporkan kebocoran maklumat mengenai Operasi Pelican 3.0 yang dilaksanakan oleh Polis Kontinjen Johor, mengenai serbuan di kawasan Setia Walk, Puchong, menyebabkan suspek utama Nicky Liow, melarikan diri.
Nicky Liow, 33, dipercayai mendapat maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya.
Polis mengesyaki sekurang-kurangnya 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa melindungi kegiatan Geng Nicky. BH
You must be logged in to post a comment.