Buku teks sejarah menyimpang, pro-Melayu dan Islam – Ranjit Singh

 

PETALING JAYA: Seorang sejarawan menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan selepas mendapati buku teks sejarah sekolah menengah edisi terbaru berat sebelah dan tidak tepat.

Ranjit Singh Malhi berkata, buku teks itu, untuk Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, menumpukan Islam serta orang Melayu dan tidak memasukkan fakta penting berkaitan pembinaan negara, selain menyimpang dan membesar-besarkan fakta.



Disebabkan kebanyakan penulis buku teks ialah orang Melayu, beliau berkata, ini bermaksud pelajar mempelajari sejarah Malaysia dan dunia dari perspektif kumpulan etnik tertentu.

“Kelemahan ketara dalam buku teks sejarah sedia ada hanya membuktikan penulis berat sebelah. Mereka tidak menyatakan kemunculan dan perkembangan masyarakat majmuk Malaysia secara seimbang, adil serta memadai,” katanya dalam kenyataan.

“Generasi muda kita tidak diajar sejarah sebenar dan inklusif negara kita, tetapi naratif sejarah terpilih yang menyimpang ke arah mewujudkan dominasi Islam dan orang Melayu berdasarkan konsep perpecahan ‘ketuanan Melayu’.

“Contohnya, berbanding buku teks sebelum ini, buku teks sejarah sekarang memandang rendah peranan dan sumbangan penting masyarakat Cina serta India Malaysia dalam pembangunan ekonomi dan infrastruktur negara.”



Ranjit, yang juga pensyarah di Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, berkata peranan orang India dalam membangunkan industri getah dan orang Cina dalam sektor perlombongan bijih timah dikurangkan kepada dua hingga tiga ayat dalam buku teks sejarah Tingkatan 3.

Beliau berkata, buku teks itu juga gagal menunjukkan kesan peradaban Hindu-Buddha terhadap budaya, bahasa, kesusasteraan Melayu, bahkan kerajaan.

“Perlu diingatkan raja-raja Melayu awal dianggap sebagai penjelmaan dewa Hindu berdasarkan konsep ‘devaraja’ (dewa raja). Malah, hingga hari ini, unsur pengaruh budaya India masih tersebar luas dalam budaya Melayu.”

Ranjit berkata, unsur berat sebelah yang menumpukan Islam dalam buku teks ketara dalam topik peradaban India dan Cina yang kurang daripada 10 halaman setiap satu, manakala peradaban Islam mempunyai 26 halaman.



Katanya, ada beberapa kesalahan “tidak dapat dimaafkan” dalam buku teks itu, walaupun terdapat panel pakar memeriksanya.

Beliau menggesa prasangka terhadap etnik dan agama dalam buku teks dihentikan kerana rakyat perlu mempelajari cara menghargai warisan pelbagai budaya yang membentuk jiwa negara.

“Pengajaran sejarah secara inklusif ialah bahagian penting dalam pembinaan negara. Buku teks sejarah kita harus mengguna pakai ‘kerangka pluralistik’ yang mempromosi identiti negara dan semangat kekitaan yang penting untuk keharmonian kaum serta perpaduan negara.

“Saya tidak membantah naratif Melayu/Islam menjadi teras sejarah Malaysia, tetapi bukannya sampai tahap meminggirkan sejarah orang bukan Melayu, Orang Asli di Malaysia Barat dan Orang Asal dari Sabah dan Sarawak.”



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker