Rakaman audio isu individu, tak jejas hubungan parti – Takiyuddin


Isu rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular menerusi media sosial tidak menjejaskan hubungan PAS dan UMNO serta parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata isu itu lebih kepada hubungan antara individu dengan individu.

“Dalam parti, ada parti dan pemimpin parti, kadang-kadang hubungan individu dengan indvidu tidak menjejaskan hubungan antara organisasi itu, kadang-kadang antara pemimpin dia, tetapi parti itu masih lagi berjalan dengan baik, itulah keadaan sekarang ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Malaysia Prihatin di Sik hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada isu rakaman audio itu akan menjejaskan hubungan PAS dan UMNO.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat itu antara lain memperdengarkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO menerusi panggilan telefon.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata isu audio itu wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, termasuk disiasat sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak untuk mempersembahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon agar Parlimen dibenarkan bersidang semula.

“Malaysia ialah negara demokrasi, selagi tidak menyalahi undang-undang, sesiapa sahaja bebas untuk berbuat demikian jika merasakan ia penting kepada mereka,” katanya.

Semalam, Pakatan Harapan dilapor akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta perkenan baginda agar Parlimen dibenarkan bersidang semula.

Negara kini masih di bawah darurat COVID-19 yang turut menyaksikan penggantungan persidangan Parlimen dan pilihan raya. Bernama

Hanya Takiyuddin kenal Hamzah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker