Awas, 71 ‘port’ geng plastik hitam dikenal pasti di Kedah


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) mempergiatkan pemantauan di 71 restoran dan kedai makan di negeri ini yang dikenal pasti sering dikunjungi kaki ‘ponteng puasa’ pada bulan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Datuk Najmi Ahmad berkata sebanyak 200 anggota dan pegawai penguat kuasa JHEAIK akan melakukan penguatkuasaan bagi mengambil tindakan ke atas individu dan peniaga yang terlibat.

“Kebiasaannya, orang yang menjalankan perniagaan semasa bulan puasa ini adalah orang yang sama setiap tahun dan mungkin sudah menjadi tabiat mereka setiap kali menjelang Ramadan (menjual makanan dan minuman kepada individu yang tidak berpuasa).

“Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAIK akan memantau kegiatan di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi golongan tidak berpuasa dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata pemantauan turut dibuat ke atas premis makanan milik orang bukan Islam kerana ada peniaga Islam yang dikesan meletakkan makanan dan minuman untuk dijual kepada mereka yang tidak berpuasa di situ bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

Najmi berkata bagi peniaga makanan yang beroperasi pada waktu tidak munasabah sepanjang Ramadan ini, pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan ditetapkan.

“Waktu munasabah untuk menjual makanan pada bulan puasa adalah bermula 3 atau 4 petang dan kalau ada kedai yang menjual nasi campur pukul 10 pagi, itu memang tidak logik sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru umat Islam di negeri ini supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti perjudian dan berharap masyarakat dapat menyalurkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan perkara berkenaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil. Bernama

Ganti Puasa…“Sibuk Tanya Orang, Janna Dah Habis Ganti ke??!!” Janna Nick ‘Disoal’ Netizen

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker