Kita masih ‘cium mulut’, Umno tak tahu jika rundingan kerusi dengan PAS tangguh, kata Tok Mat


MELAKA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata beliau tidak tahu jika rundingan kerusi antara parti itu dengan PAS ditangguhkan.

Beliau berkata, setakat ini, rundingan masih berlangsung bawah Mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional (MN), yang diadakan setiap dua minggu sekali.

“Saya cuma baca dalam media juga, tetapi dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN baru-baru ini, kita (Umno) nyatakan rundingan kerusi Umno dan PAS (masih) diteruskan.

“Bahkan kita setuju (antara formula yang digunakan) kerusi yang dimenangi akan ditandingi oleh parti masing-masing, dan formula kedua kita setuju parti mana yang dapat undi terbanyak, kerusi berkenaan akan diberikan kepada parti berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Bangkit 15.

Media hari ini melaporkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata pihaknya sudah menghantar wakil untuk berunding dengan PPBM mengenai pembahagian kerusi, dan perbincangan dengan Umno ditangguhkan buat seketika, kerana parti itu kini berdepan kemelut dalaman.

Mohamad berkata, Umno akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PAS berhubung perkara itu, ketika Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN akan datang.

Ditanya hubungan antara Umno dan PAS ketika ini, beliau berkata: “kita masih cium mulut lagi (masih baik lagi).”

Mengulas mengenai desakan segelintir pihak yang mahu Umno mengadakan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan Jun ini, beliau berkata, ia bergantung kepada keadaan semasa terutama ketika pandemik Covid-19 masih lagi mencatatkan kes tinggi.

“Dalam keadaan sekarang kita tengok (kes harian) Covid-19, kerana dalam pemilihan ahli wajib hadir, tapi ketika ini ada kesulitan dalam keadaan Covid-19 masih belum reda. Kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Macam di (Umno Bahagian) Rembau ada 1,100 perwakilan. Kena cari dewan yang boleh muatkan 3,000 orang untuk patuh kepada SOP. Kita tak boleh bawa 20% sahaja yang hadir, nanti mesyuarat tak sah. Itu kekangan-kekangan yang kami sedang teliti,” katanya. FMT

Dalam Kenangan….Apa jadi dengan Muafakat Nasional?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker