Menggantikan istilah negeri Sabah dengan Wilayah Sabah dan Sarawak sekadar kosmetik

Sebaran :


MENGGANTIKAN istilah negeri Sabah kepada wilayah Sabah hanya satu sekadar perubagan kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat negeri atau wilayah itu jika ia tidak seiring dengan perubahan dasar kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perubahan istilah itu hanya akan diterima oleh rakyat Sabah jika ia seiring dengan perubahan dasar kerajaan pusat dalam hubungannya dengan Sabah.

“Jika tidak, ia hanyalah perubahan berbentuk kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat Sabah.

“Kita maklum banyak terma-terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau Malaysia Agreement 1963 (MA63) masih lagi tidak dilaksanakan.

“Alasan yang diberi ialah ianya masih dalam rundingan dan rundingan itu memakan masa.

“Jadi sementara menunggu keputusan rundingan MA63, ada banyak dasar yang boleh dilaksanakan sekarang bagi membuktikan keikhlasan kerajaan pusat dan kerajaan negeri untuk mencapai keseimbangan dan keadilan dalam Persekutuan Malaysia.

Sehubungan itu beliau membentangkan beberapa usul bagi menjayakan perubatan istilah itu.

1) Satu negara, satu harga.
Kenapa rakyat Wilayah Sabah terpaksa membayar harga yang tinggi bila mereka membeli barangan dan perkhidmatan dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, sedangkan pendapatan purata rakyat Wilayah Sabah jauh lebih rendah dari Semenanjung?

Kenapa harga barangan dan perkhidmatan di seluruh Semenanjung Malaysia boleh disamakan sedangkan ada kos penghantaran ke negeri-negeri yang jauh seperti Kelantan dan Perlis?

Kalau Wilayah Sabah boleh berkongsi hasil minyak dan gas dengan negeri-negeri lain, takkan kos hidup di Wilayah Sabah tidak boleh dikongsi oleh negeri-negeri lain?

Lancarkan dasar satu negara, satu harga dengan segera.

2) Isu PTI di Sabah adalah masalah negara, bukan hanya masalah Sabah
Kebanjiran pendatang tanpa izin (PTI) amat membebankan Sabah. Oleh kerana kedudukan geografi Sabah telah ditakdirkan berada dekat dengan Filipina dan Indonesia, maka Sabahlah yang terpaksa menanggung isu PTI.

Biar kita jujur. PTI bukan hanya masalah Sabah. Ianya masalah negara. Tidak adil hanya penduduk Sabah yang terpaksa berdepan dengan dengan masalah sosial yang berbangkit dari kebanjiran PTI
Saya faham di semenanjung juga ada masalah PTI tetapi masalah di sana tidak kronik seperti yang ada di Sabah.

Bayangkan di Sabah, rakyatnya terpaksa berkongsi perkhidmatan hospital dan sekolah, berlumba mendapatkan subsidi seperti subsidi beras, berebut tempat duduk dalam perkhidmatan pengangkutan awam dan bersaing dalam peluang berniaga.

Malah kami di Sabah berkongsi khidmat dan masa pihak polis yang sepatutnya menjaga keselamatan dan keamanan penduduk asli Sabah tetapi kini terpaksa juga menangani segala isu keselamatan berkaitan PTI.

Oleh kerana rakyat Sabah, tanpa kerelaan mereka, menjadi barisan hadapan yang menanggung permasalahan PTI ini, sekurang-kurangnya kerajaan pusat sepatutnya menambah lebih banyak hospital, sekolah dan subsidi di Sabah.

Ini untuk memberi keadilan kepada rakyat Sabah yang berdepan dengan masalah PTI ini. Dasar satu daerah satu hospital contohnya, tidak terpakai di Sabah.

Di negara-negara luar, kerajaan pusat mereka memberi bajet pembangunan perkhidmatan sosial yang lebih besar kepada wilayah negara mereka yang dibanjiri PTI berbanding dengan wilayah mereka yang tidak terkesan.

Ini sesuai dengan cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi keadilan kepada wilayah sesebuah negara yang tertekan dan terkesan dengan masalah PTI yang dahsyat, sementara rakyat yang tinggal di wilayah yang tidak berdepan dengan masalah PTI menikmati hidup aman damai dan sentosa. Itu keadilan sosial yang patut dituntut oleh kerajaan Sabah kepada kerajaan pusat tanpa menunggu hasil rundingan MA63!

3) Tingkatkan bajet dan pindahkan lebih banyak aset pertahanan ke Sabah.
Buat masa ini, ancaman keselamatan terhadap negara lebih nyata di Sabah dari di Semenanjung. Setiap hari sempadan negara di Sabah bolos. Bukan sahaja PTI yang bolos, malah aktiviti penyeludupan masih berleluasa.

Berikan lebih bajet dan aset pertahanan di pengkalan tentera laut di Sepanggar, Sandakan dan Semporna dari pengkalan tentera laut di Lumut, Perak dan di Tanjung Gelang, Pahang.

Lebihkan juga bajet dan tempatkan aset pertahanan lebih di pengkalan udara di Labuan dari yang diberikan kepada pengkalan udara Butterworth dan Subang. Begitu juga bajet dan aset tentera darat di Lok Kawi dan Kota Belud.

Saya kira ancaman keselamatan negara (mengenai PTI dan penyeludupan) lebih mendesak di Sabah dari semenanjung buat masa ini. Kalau di masa hadapan, ancaman keselamatan negara lebih nyata di semenanjung dari Sabah, maka bolehlah kerajaan alihkan fokus kepada semenanjung semula.

Ketiga-tiga cadangan ini tidak perlu menunggu keputusan rundingan MA63. Kalau kerajaan negeri dan kerajaan pusat nekad untuk menyamakan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung, buatlah ini dahulu. SM

“Syok Sendiri” Sabah, Sarawak sebagai wilayah? – Naib Presiden Warisan


Sebaran :

Leave a Reply