Suspek tembak mati bomoh mungkin pembunuh upahan — MYKMU.NET

Suspek tembak mati bomoh mungkin pembunuh upahan



Sebaran :


TEMERLOH: Pembunuhan seorang pengamal perubatan di Kuantan malam Ahad lalu dipercayai dilakukan oleh pembunuh upahan, yang melepaskan beberapa das tembakan semasa mangsa sedang merawat pesakit.

Ketua Polis Pahang, Abd Jalil Hassan, berkata Mohamad Abdul Rahim Nasri, 31, dipercayai ditembak di hadapan sepasang suami isteri, yang kini direman sehingga 13 April bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang memakai topeng ada memberi salam sebelum masuk ke rumah dan terus melepaskan tembakan ke arah mangsa.



“Suspek dikatakan terus berlalu pergi selepas itu tanpa mengapa-apakan suami isteri tersebut dan difahamkan seorang rakan suspek menunggu di luar bagi memudahkan mereka melarikan diri,” katanya.

Abd Jalil ditemui pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh hari ini, yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Abd Rahim Jaafar.

Mengulas kemungkinan jenayah melibatkan pembunuh upahan, Jalil berkata andaian itu berdasarkan persiapan, jenis pistol yang digunakan, selain suspek kekal tenang walaupun kejadian itu mempunyai saksi.



“Setakat ini, siasatan bagi motif pembunuhan dilakukan secara menyeluruh meliputi aspek dendam, hutang, dan marah yang mungkin berpunca daripada gangguan seksual semasa proses mengubat.

“Kita juga meneliti jadual dan perbualan mangsa sebelum kejadian serta media sosial mangsa yang mengandungi video dia menjalankan proses rawatan bagi mendapatkan petunjuk untuk membantu siasatan,” katanya.

Jalil berkata pihaknya memohon bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat atau mereka yang pernah mendapatkan rawatan daripada mangsa untuk tampil membantu siasatan, dengan jaminan kerahsiaan identiti dijaga.



Mohamad ditemui mati dengan kesan tembakan sekitar 11 malam, 4 April lalu dalam keadaan berpakaian serba kuning dengan kesan darah kering.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. FMT

Bekas pengawal peribadi Azmin dan Nurul Izzah dihukum gantung kerana tembak mati majikan


Sebaran :


Leave a Reply