Kalau betul suara Zahid-Anwar, apa salahnya – soal Pemuda UMNO


Bukan satu kesalahan pun jika rakaman suara yang tular di media sosial sejak Rabu lalu benar-benar milik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya, A’zlan Abu Bakar berkata, tidak wajar untuk menuduh UMNO mahu bekerjasama dengan PKR hanya bersandarkan kepada rakaman suara semata-mata.

“Soal kerjasama dengan PKR ini tidak perlulah nak kita peningkan.

“Takkan UMNO yang belum bekerjasama pun dah dipersalahkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Bagaimanapun semalam Ahmad Zahid menyangkal dakwaan penglibatannya di dalam rakaman suara tersebut.

Dalam pada itu, sekiranya PKR mahu bekerjasama dengan UMNO Barisan Nasional (BN), parti itu perlu bersetuju dan boleh mengikut beberapa syarat yang akan ditetapkan.

“Kalau PKR boleh ikut (syarat) dari segi hala tuju, matlamat dan Perlembagaan BN, apa salahnya.

“Bagaimana pun BN harus mendominasi kepimpinan gabungan untuk memimpin kerajaan,” katanya.

Dalam dunia politik hari ini, tindakan PKR bekerjasama dengan parti politik lain bukan satu kejanggalan, malah tidak mustahil wujud dengan bekas parti pemerintah sejak 60 tahun lalu.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun didokong oleh mereka yang dulunya bekerjasama dengan PKR dalam PRU14 seperti PPBM.

“Malah wakil rakyat PKR juga yang melompat dan mengkhianati mandat rakyat untuk mereka berkuasa sehingga hari ini dalam Kerajaan PN,” katanya.

Bagaimanapun katanya tindakan membeli dan mendorong wakil rakyat daripada parti lawan untuk melompat parti sepatutnya dilihat jauh lebih salah daripada perbualan dalam telefon.

“Yang salahnya bila parti lain jumpa parti lain dan membeli mereka untuk melompat parti.

“Itu yang salah dan sepatutnya dinilai oleh orang ramai terhadap prinsip ahli politik yang meniagakan mandat rakyat dalam PRU14 lepas.

“Yang untung mereka! Yang rugi dan rasa diperbodohkan siapa? Tentulah rakyat sebagai pengundi mereka yang melompat parti ni,” katanya.

Menurutnya, jika budaya melompat parti ini masih rancak berlaku, apa gunanya rakyat berhujan panas keluar mengundi dalam pilihan raya untuk menentukan siapa wakil rakyat.

“Ini bukan negara demokrasi namanya. Perkara ini yang harus kita selamatkan agar negara tak terjerat dan terheret oleh kerakusan mereka untuk berkuasa.

“Selepas PAU 2020 jelas bahawa keputusan yang disuarakan akar umbi dan parti adalah untuk menyelamatkan sistem demokrasi Malaysia yang semakin hancur di bawah Kerajaan PN hari ini.

“Dari kestabilan politik melompat parti. Ntah-ntah esok lusa bertukar lagi. Akhirnya siapa yang jadi mangsa? Rakyat, peniaga dan pelabur juga akhirnya,” katanya.

Katanya lagi, jika hari ini PN boleh terbentuk hasil daripada gabungan parti-parti lain, apa salahnya UMNO sendiri mencorak seni sendiri dalam merentasi peredaran politik hari ini.

“Yang penting matlamat itu adalah untuk masa depan generasi anak bangsa dan negara,” katanya lagi. MG

Adakah satu kesalahan UMNO mahu bekerjasama dengan PKR? – Hamzah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker