Wira muda Senoi Praaq teruskan legasi

Api perjuangan Senoi Praaq yang disemarakkan oleh wira-wira masyarakat Orang Asli tidak terpadam apabila pasukan ini terus diisi dengan kemasukan anggota-anggota baharu.

Ia sekali gus meneruskan kesinambungan Orang Perang ini yang digeruni musuh dan disegani rakan seangkatan.

Senoi Praaq yang ditubuhkan pada 16 Mac 1955 ilham Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ketika itu, Leftenan Kolonel ROD Noone adalah bagi menyekat pengaruh komunis dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Tugas ketika itu ialah membuat tinjauan dalam hutan serta menjalankan tindakan melawan insurgensi di kawasan masyarakat Orang Asli.

Mereka diberi kuasa polis bantuan dan dilatih menggunakan senjata api serta taktik peperangan gerila oleh pasukan ke-22 Special Air Service (SAS) Regiment, British.

Pada 1 Januari 1968, Senoi Praaq menjadi sebahagian daripada kekuatan Pasukan Polis Hutan (PPH) dan kemudiannya Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Batalion 3 PGA Kem Bidor dan Batalion 18 PGA Kem Pengkalan Hulu, kedua-duanya di Perak.

Tanggal 1 Mac lalu menyaksikan seramai 76 orang wira muda berjaya menamatkan latihan pada Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli Polis Diraja Malaysia (PDRM) Siri 1/2020 di

Lapang Sasar Utama, Briged Utara PGA, Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

Kesemua pelatih menjalani latihan kepolisan serta kemahiran tempur di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta selama enam bulan agar bersedia melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara.

 

PARA pelatih menunjukkan kawad tempur benet dalam Upacara Penutupan Kursus Asas Konstabel Orang Asli PDRM di Ulu Kinta, Perak.-UTUSAN/ZAKI SALLEH

PAMER KEMAHIRAN

Di hadapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, para pelatih ini mempa­merkan kemahiran pada demon­strasi seperti tarian perang Senoi Praaq, kawad tempur benet, kawad tanpa arahan, demontrasi teknik rappelling dan teknik tempur hutan.

Barisan generasi baharu PGA Senoi Praaq yang bakal meneruskan kesinambungan perjuangan generasi terdahulu wira-wira masyarakat Orang Asli dalam pasukan polis.

Turut hadir menyaksikan upacara tamat latihan ini ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Profesor Dr. Juli Edo.

Pada akhir latihan, seramai lima pelatih menerima anugerah atas kecemerlangan didahului Konstabel (Kons) Helmi Ghani sebagai pelatih terbaik keseluruhan.

Empat yang lain ialah Kons Ramzi Bah Malik bagi kategori pelatih terbaik jasmani; Kons Noor Hisham Ah Lai (penembak terbaik); Kons Muhammad Aiman Hakimie Abdullah (akademik) dan Kons Araiti Atan (kawad).

Kesemua pelatih terbaik ini juga diberi penghormatan apabila disarungkan beret merun Senoi Praaq masing-masing oleh Abdul Hamid dan pegawai-pegawai kepimpinan kanan PDRM yang hadir.

Pasukan Senoi Praaq, yang majoritinya dianggotai oleh Orang Asli telah ditubuhkan semasa darurat, berfungsi untuk membantu pasukan keselamatan menangani ancaman pengganas komunis.

Mengambil kira ancaman tersebut, pada Mei 1956, Richard Noone, Ketua Jabatan Orang Asli Malaya telah menubuhkan satu unit terdiri dari 10 Orang Asli yang dikenali Pasukan Senoi Praaq (Orang Perang).

 

LONGGAR SYARAT

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pada masa hadapan syarat kelayakan bagi pengambilan anggota PGA Senoi Praaq ini akan dilonggarkan.

Ia melibatkan syarat fizikal dan kelulusan akademik bertujuan memberi peluang lebih ramai pemohon yang layak untuk menganggotai pasukan berkenaan.

Beliau memberitahu, ini berikutan terdapat keperluan untuk mengisi keanggotaan dalam dua batalion Senoi Praaq sejajar dengan kehendak semasa.

Sasaran awal polis adalah mendapatkan sekurang-kurangnya 100 pelatih menyertai kursus asas konstabel, namun hanya 76 yang layak.

Katanya, keadaan itu disebabkan kebanyakan pemohon adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia biarpun Skim Perkhidmatan Polis Senoi Praaq hanya mensyaratkan Penilaian Menengah Rendah.

“Kita faham minat yang ditunjukkan pemuda-pemuda Orang Asli ini cukup tinggi, namun terdapat beberapa kekangan berhubung kelayakan fizikal dan kelulusan (akademik).

“Perkara ini telah dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kita akan terus berunding untuk melong­garkan syarat tersebut,” katanya.

Bagaimana pun tegasnya, kelonggaran syarat tidak bermakna pasukan itu akan memperoleh anggota yang kurang kualitinya kerana ciri-ciri asas mestilah menepati kehendak penugasan Senoi Praaq iaitu lincah dan tangkas di hutan.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker