Najib akui terima notis bankrap LHDN, anggap ia ‘menambah garam ke luka ketidakadilan’

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui telah menerima notis bankrap daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung ringkasan penghakiman cukai pendapatannya dari 2011 hingga 2017.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa ia satu lagi tindakan pihak tertentu untuk memalukan beliau, apatah lagi notis itu diberikan pada hari pertama prosiding rayuannya semalam.

Dakwa Najib lagi, beliau berpegang kepada pendirian bahawa tuntutan cukai sekitar RM1.7 bilion pada zaman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai merit, biarpun ia diteruskan pada zaman Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

“Ia berkaitan sejumlah RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun yang menggunakan nama DSN di mana akaun itu diwujudkan bagi menerima sumbangan derma (sebagaimana didedahkan di mahkamah) dan RM642 juta dipindahkan secara terus dari Kementerian Kewangan Arab Saudi (dan ini juga dibuktikan di mahkamah).
Sumber Facebook najibrazak

“Jumlah RM2.6 bilion yang sangat popular (sebenarnya RM2 bilion) sudah dipulangkan empat bulan kemudian.

“Biarpun sebagai Perdana Menteri, saya sentiasa membayar cukai pendapatan tanpa gagal tetapi cukai zalim berjumlah RM1.74 bilion (naik lagi dengan penalti RM46 juta sejak tahun lepas) ini adalah pentaksiran tambahan dan penalti yang tidak munasabah,” dakwanya lagi.

Dalam satu notis tuntutan kepada Najib pada 2019, LHDN menyatakan jumlah keseluruhan tunggakan cukai yang perlu dibayar ialah RM1.69 bilion dengan kadar bunga lima peratus setiap tahun bermula tarikh penghakiman, termasuk kos lain yang mahkamah rasakan perlu.

Menurut notis tuntutan itu, Najib didakwa gagal membayar cukai pendapatan antara 2011 dan 2017.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata LHDN sendiri membuat kenyataan bahawa sebarang derma politik tidak perlu dikenakan cukai.

“Dari zaman PH sehingga zaman PN kini, tiada seorang pun yang berani menjawab kenapa wang yang dipulangkan kepada penghantar selepas 4 bulan dikira sebagai pendapatan peribadi dan dicukai serta dikenakan penalti 40% +10% +5%.

“Bagaimanapun, undang-undang percukaian di negara ini terdedah kepada penyalahgunaan di mana prinsipnya adalah seseorang itu perlu langsaikan penalti dahulu sebelum merayu dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan,” katanya lagi.

Namun Najib berkata, beliau akan terus melawan setiap percubaan untuk ‘membuli’ atau ‘menakut-nakutkan’ dirinya dan akan terus berusaha mendapatkan keadilan sewajarnya.

Najib terima notis kebankrapan daripada pegawai LHDN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker