Benarkah wujud diskriminasi etnik?

Sebaran :

 

Sebagai tindak balas kepada Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, beberapa pertubuhan Cina antaranya Dong Jiao Zong menyatakan kerajaan perlu menerima sejarah rakyat pelbagai keturunan sebelum menggerakkan usaha perpaduan ini.

Dengan ini, mereka mahu sumbangan etnik Cina ikut diambil kira. Ini kerana pada pendapat mereka, ia tidak diiktiraf seadanya oleh kerajaan.

Dengan ini, pada mereka wujud ketidakadilan sosial terhadap etnik Cina meskipun ikut berbakti membina negara.

Bagi mereka, ia perlu ditangani terlebih dahulu sebelum kita mahu berbicara tentang perpaduan negara. Sehubungan itu, mereka menuntut kesamaan hak dan peluang dalam bidang politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Etnik Cina kini merupakan kelompok kedua terbesar dari segi bilangan penduduk dengan catatan 23 peratus. Secara tradisinya, mereka adalah kumpulan dominan dalam ekonomi negara. Semenjak kurun ke-13 lagi, mereka sudah menjadi peniaga dan membina penempatan Cina, antaranya sepanjang Sungai Kinabatangan.

Pada zaman penjajahan Belanda lagi, mereka sudah menceburi perlombongan bijih timah di Perak. Sementara di Sabah dan Sarawak, mereka menceburi pertanian antaranya lada sulah selain perusahaan bijih timah.

Dalam pada itu, tuntutan untuk kesamaan hak dan peluang oleh etnik Cina bermula dengan usulan Malaysian Malaysia setelah penubuhan Persekutuan Malaysia. Ia ingin menggemblengkan sokongan terhadap keadilan sosial melalui konsep kesamaan bagi setiap etnik yang tidak boleh bersifat berkecuali untuk satu etnik sahaja.

Usulan ini yang tidak berjaya diangkat, antaranya telah menyebabkan pengidentifikasian lebih kuat kepada etnisiti Cina semakin menjadi-jadi. Ini dapat dilihat pada keengganan mereka untuk menggunakan bahasa Melayu bagi berkomunikasi sesama Cina dan menyelar Cina Peranakan Kelantan yang berbuat demikian, apatah lagi Baba Nyonya Melaka yang menjadikannya bahasa ibunda mereka.

Undi 18: Syarat umur perlu digabung dengan pendidikan politik, kata Hadi

DOMESTIK

Berkenaan keadilan sosial, sudah tentu ia sesuatu yang baik dan perlu wujud dalam masyarakat kerana ia menganjurkan kesamaan merentasi banyak segi untuk melindungi keselamatan serta menjamin kesejahteraan individu dan komuniti.

Sebaliknya, ketidakadilan sosial yang merujuk kepada tindakan tidak adil yang dilaksanakan dalam masyarakat antaranya diskriminasi etnik adalah sesuatu yang harus dielakkan.

Berkaitan hal ini, khususnya diskriminasi terhadap etnik Cina seperti mahu didakwa begitu, pertanyaannya ialah adakah ia betul-betul wujud, lebih-lebih lagi secara sistematik sehingga membawa kemudaratan kepada etnik itu, baik dalam kehidupan domestik mahupun nasional?

Untuk sekian lama, etnik Cina kekal sebagai pemain dominan sektor perniagaan dalam ekonomi negara ini dengan pemilikan ekuiti yang tinggi.

Pada masa sama, hampir setiap orang kaya raya di Malaysia adalah daripada etnik Cina. Sehubungan itu, sekitar 70 peratus daripada kumpulan satu peratus yang berpendapatan tinggi terdiri daripada etnik Cina. Pada 2019, isi rumah etnik Cina didapati meraih pendapatan purata bulanan tertinggi dalam kalangan semua etnik, iaitu sebanyak hampir RM10,000.

Sesungguhnya, kesemua ini tidak boleh terjadi jika adanya diskriminasi terhadap mereka.

ICERD

Walaupun begitu, etnik Cina yang tergolong dalam kategori susah tetap dibantu kerajaan bersekali pelbagai etnik lain melalui pelbagai dasar strategik yang diberikan tanpa berkecuali untuk semua bidang, antaranya perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor perniagaan dalam bidang ekonomi. Pada masa sama, rancangan pembasmian kemiskinan untuk manfaat semua, ikut dinikmati etnik Cina.

Tuntutan agar Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) yang disokong kuat etnik Cina bukan sahaja tidak berasas, ia songong sekali.

Ini kerana Perkara 8(1) dan Perkara 12(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin prinsip kesamaan dan tiadanya diskriminasi.

Dengan ini, tidak tepat sama sekali apabila ada pihak yang mendakwa diskriminasi etnik bukan sahaja diamalkan, ia diinstitusikan di negara ini, khususnya pada Perkara 153 Perlembagaan Perselutuan yang pada hal menjamin hak semua etnik.

Najib terima notis kebankrapan daripada pegawai LHDN

DIASPORA

Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan kewujudan terus pendidikan dalam bahasa ibunda adalah bukti lain tiadanya diskriminasi terhadap mana-mana etnik.

Begitu juga keadaannya apabila warisan setiap etnik diwakili dalam majlis kebudayaan negara, di samping dijamin budayanya dapat terus diamalkan dengan damai di segenap pelosok negara.

Oleh itu, dakwaan diaspora Malaysia di serata tempat yang rata-ratanya terdiri daripada etnik Cina bahawa diskriminasi etniklah yang mendorong mereka meninggalkan Malaysia adalah tohmahan semata-mata. Sebenarnya, mereka berhijrah untuk peluang kerjaya dan prospek ekonomi dan bukan kerana dilayan secara berbeza.

Hal ini dapat dilihat pada etnik Cina yang berjaya dalam bidang ekonomi yang tidak mahupun berhijrah kerana memang tidak ada diskriminasi etnik membantut ikhtiar mereka untuk mencapai kemajuan di Malaysia.

Dengan tiadanya diskriminasi etnik seperti yang didakwa sistematik kerana diinstitusikan, sesungguhnya tidak ada apa-apa yang boleh menghalang kita daripada memupuk perpaduan utuh lagi sejati.

Sebetulnya, hak dan peluang kesamaan yang tulen pula sifatnya senantiasa wujud dalam semua bidang di negara ini. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memanfaatkannya untuk membina Malaysia yang benar-benar bersatu padu.

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Najib terima notis kebankrapan daripada pegawai LHDN


Sebaran :

Leave a Reply