Equanimity bakal menggoncang Malaysia dan Indonesia?

oleh AB JALIL BACKER

EKSRADISI Kapal Layar Equanimity yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Indonesia ke Malaysia bakal mencetuskan krisis politik dan perundangan baharu di kedua-dua negara.

Presiden Jokowi Widodo mengambil risiko politik yang besar apabila akur dengan permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menyerahkan Equanimity kepada Malaysia tanpa melalui saluran perundangan negara terbabit.

Kapal layar Equanimity pada mulanya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia pada 28 Februari 2018 atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI). Permintaan dan penahan ini berikutan satu tindakan undang-undang oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) ke atas harta-harta yang dianggap dibeli dari penyelewengan dana 1MDB.



Bagaimanapun pada April lalu, Mahkamah Indonesia memutuskan penyitaan Equanimity Cayman adalah tidak sah dan tidak berdasar hukum dan mengarahkan ia dikembalikan kepada pemiliknya, Equanimity Cayman Ltd.

Ini menyebabkan FBI tidak dapat membawa pulang kapal tersebut ke Amerika Syarikat. Bagaimanapun DOJ memperoleh satu lagi perintah mahkamah untuk mengambil alih kapal terbabit sehingga keputusan muktamad mengenai ekstradisi dibuat.

Justeru apabila Jokowi mengarahkan Polis Indonesia mengambil alih kapal terbabit dan menghantar kepada pihak berkuasa Malaysia, ia menimbulkan persoalan sama ada semua prosedur perundangan telah dilaksanakan.

Tidak ada satu maklumat jelas sama ada pihak berkuasa Indonesia telah mendapat kebenaran Mahkamah di sana. Ini pasti akan menjadi isu kepada Jokowi dalam pemilihan Presiden Indenesia 2019 nanti.



Di Malaysia sendiri maklumat yang ada hanyalah dari pejabat Peguam Negara sahaja yang melaporkan mereka telah mendapat perintah Mahkamah Tinggi Malaysia untuk membawa kapal terbabit di Malaysia. Bila dan hakim mana yang memberi perintah tersebut masih misteri.

Pejabat Peguam Negara Malaysia menyatakan proses ini hasil perbincangan teliti pihak berkuasa tiga negara – Amerika Syarikat, Malaysia dan Indonesia.

Bagaimanapun Bloomberg pada hari yang sama melaporkan kenyataan Jurucakap Pejabat Pendakwaraya Amerika Syarikat di Los Angeles, Thom Mrozek sebagai berkata “US tidak terbabit dalam persetujuan antara Indonesia dan Malaysia (a spokesman for the US attorney’s office in Los Angeles, said the US was not party to the agreement between Indonesia and Malaysia).

Kerisauan kita ialah Malaysia bakal berhadapan saman yang tinggi jika benar proses membawa pulang kapal ini tidak mengikut prosedur undang-undang kedua-dua negara. Tidak mustahil pemilik kapal tersebut akan menyaman kerajaan Indonesia dan Malaysia jika mereka mendapati proses ini tidak mengikut prosedur perundangan. Ini akan membabitkan kos pampasan jutaan ringgit pada masa hadapan.



Equanimity: Masalah 1MDB atau IPIC?

Membawa pulang kapal Equanimity ke Malaysia bermakna kita mengakui Jho Low telah menyeleweng wang 1MDB bukannya wang IPIC (The International Petroleum Investment Company, Abu Dhabi).

Ini bertentangan dengan pandangan kerajaan Malaysia sebelum ini bahawa tiada wang 1MDB yang diselewengkan Jho Low. Sebaliknya wang yang diselewengkan ialah di bawah tanggungjawab IPIC.

Bagi yang belum jelas, skandal ini berlaku apabila 1MDB mengadakan hubungan perniagaan dengan IPIC membabitkan bayaran berjumlah AS$3.5 bilion. 1MDB membayar Bon Jaminan IPIC dan lain-lain bayaran kepada Aabar BVI. Ini berdasarkan perakuan IPIC ketika itu bahawa Aabar BVI adalah anak syarikat mereka yang ditubuhkan untuk menerima bon jaminan 1MDB.



Nama-nama pemegang saham dalam Aabar BVI juga adalah nama dua orang pengarah utama IPIC iaitu Khadem Al Qubaisi, (Pengarah Urusan IPIC) dan Mohamed AL-Husainy, Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Pjs (sebuah lagi anak syarikat IPIC). Nama kedua-dua mereka tertera dalam syarikat Aabar BVI.

Hanya beberapa tahun selepas pembayaran dibuat, iaitu pada 2016, IPIC menafikannya dan memecat kedua-dua pegawai utama mereka ini. Tindakan IPIC memecat dan membekukan akaun Khadem dan Mohamed jelas membuktikan kedua-dua mereka adalah orang yang bertanggungjawab terhadap dakwaan dan tuduhan penyelewengan ini.

Justeru Kerajaan Malaysia ketika itu berpendapat 1MDB sebagai syarikat yang membayar tidak boleh dipertanggungjawabkan atas penyelewengan oleh orang nombor satu IPIC.

Atas sebab itu juga Kerajaan dahulu tidak menuntut apa-apa dari perbicaraan DOJ kerana kita berpendapat IPIC perlu bertanggungjawab atas penyelewengan ini.



Justeru yang sangat membimbangkan ialah jika tindakan menuntut kapal ini memberi ruang kepada IPIC lepas tangan dan tidak perlu bertanggungjawab atas dana yang telah dipindahkan kepada jagaan mereka.

Apa pun kita berharap tindakan ini akan menguntungkan negara dan rakyat bukan sebaliknya. Malahan kita berharap kerajaan dapat membuat pendakwaan Mahkamah ke atas Jho Low biarpun beliau tidak menyerah diri.

Skandal ini telah terlalu lama menjadi polemik yang memecah-belah rakyat negara ini. Kerajaan perlu menyelesaikan juga secara tuntas dan telus.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)
SINAR



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker