“Saya bukan cakap kosong hendak tangkap polis terlibat Datuk Seri Nicky”


“Bila siasatan kita terhadap mereka dah lengkap, kita akan tangkap, kita tak akan lepas, saya bukan cakap kosong.”

“Saya bagi jaminan, ‘tunggu masa’ sahaja!”

Begitulah reaksi segera Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador terdapat 34 orang pegawai dan anggota penguatkuasa yang dipercayai terlibat sebagai ahli Geng Nicky, kumpulan yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.

Nicky dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya.

Turut disyaki terlibat seorang bekas Timbalan Pendakwa Raya.

Susulan dari kebocoran maklumat itu, Nicky sempat membawa bersama-samanya lapan beg besar mengandungi wang tunai dianggarkan jutaan ringgit.

Menurut Ayob, Polis Johor sebelum ini telah membuktikan keseriusan mereka dengan menangkap dan menuduh 24 pegawai dan anggota dari polis, tentera serta Imigresen yang terlibat dalam sindiket pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri tersebut.

“Bila Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan itu, beliau bukan mencari publisiti, betul, memang ada pegawai dan anggota kita yang terlibat.

“Kalau kita buat siasatan yang lengkap…bila bawa kertas siasatan ke pejabat Peguam Negara…Timbalan Pendakwaraya (DPP) pun akan puas hati untuk tuduh mereka (yang terlibat).

“Saya tak mahu lepas tangkap, kita hebah satu dunia tetapi tidak dituduh pun, terus senyap,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual secara eksklusif dalam program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini kelmarin.

Baru-baru ini Abdul Hamid turut mengumumkan dua individu berpangkat Datuk Seri termasuk adik kepada Nicky dan enam berpangkat Datuk antara 68 individu yang ditahan kerana terlibat dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam serbuan tersebut, polis juga merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru.

Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ayob mengakui yang Nicky mempunyai ‘jaringan’ yang luas termasuk dengan pihak berkuasa.

“Andai kata ada satu saja laporan polis dibuat (terhadapnya), dia akan dapat tahu sebagai contoh siapa yang buat laporan, di mana laporan dibuat dan kes apa.

“Contohnya seminggu sebelum operasi terhadapnya hendak dilancarkan, kita baru buat ‘report’ sahaja yang kita akan buat siasatan terhadapnya, dia dah tahu, maknanya ada ‘orang dalam’.

“Saya akan cari mereka yang terlibat sampai ke lubang cacing, saya tak akan lepaskan tak kira mereka pegawai ke, anggota polis ke atau pegawai agensi lain penguatkuasa lain, itu jaminan saya,” tambah Ayob. MG

Selepas gambar dedah peha, Nonny Nadirah kongsi gambar tak berbaju pula

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker