‘Lilin bakar diri’ – Zahid hurai falsafah setia Umno
Di tengah-tengah spekulasi ketegangan dua puak Umno, antara ‘kluster kabinet’ dan ‘kluster mahkamah’, Presidennya Ahmad Zahid Hamidi tampil menghuraikan falsafah kesetiaan terhadap parti.
“Umno berpegang teguh pada kesetiaan mutlak terhadap agenda perjuangan yang dipamerkan pada perhimpunan terbesarnya baru-baru ini,” katanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Jelas Zahid “setia itu terkadang menyakitkan” tetapi percaya “mereka yang setia pada akhirnya ada sinar menanti.”
“Presiden Umno mengerti falsafah ini kerana itu walau apa terjadi kesetiaan pada parti tanpa kompromi.
“Meskipun ia bermaksud lilin membakar diri,” katanya lagi.
‘Kluster mahkamah’ merujuk tokoh Umno yang berdepan pertuduhan di mahkamah (termasuk Ahmad Zahid), manakala ‘kluster kabinet’ pula merujuk tokoh Umno yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, atau diberikan jawatan tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Agenda tak boleh terkucil
Sementara itu, Zahid pada hantarannya hari ini menyoal sekiranya orang betul-betul faham erti kesetiaan sebenar.
“Justeru, dalam aspek definisi kata-kata, kesetiaan membawa banyak makna. Namun pada prinsipnya semata-mata tentang keteguhan hati.
“Bak kata ilmuan, kesetiaan bererti ketelusan untuk menyimpan satu dalam hati dan berjanji tidak mengkhianati,” jelasnya.
Menurut Zahid lagi, kesetiaan dalam konteks Umno pula adalah tentang meneruskan perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Agenda ini tidak boleh terkucil dan wajib dipertahankan walau dalam apa bentuk acuan sekali pun.
“Ramuannya tidak boleh dibenarkan bercampur baur dengan agenda luaran yang subversif yang cuba dibawa masuk,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 2020) baru-baru ini, parti itu mempertegaskan keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik PRU15 bermula.
Ini walaupun Umno sekarang sebahagian daripada pentadbiran PN.
Zahid pada PAU 2020 juga mencabar seorang menteri yang dipercayai Annuar Musa supaya meletakkan jawatan dalam kabinet.
Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai ‘makhluk perosak’, Zahid juga mendakwa menteri berkenaan ‘menikam’ Umno dari belakang.
Ketika PAU 2020 juga, ahli parlimen Umno yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet PN atau menyandang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disaran meletak jawatan.
Pun begitu, Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata parti itu perlu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan untuk meletakkan jawatan dalam kerajaan PN pada waktu sekarang.
“Mungkin benda itu kita rasa terbaik untuk Umno tapi ada kesannya kepada rakyat,” katanya pada 30 Mac lalu.
Setakat ini, Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman pada 1 April lalu berkata dia telah melepaskan jawatan sebagai pengerusi Kesedar Kilang Sdn Bhd milik Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Katanya, ini sebagai menghormati akar umbi pada PAU dan keputusan Umno sudah jelas untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan pendirian itu perlu dihormati.
You must be logged in to post a comment.