Gajah liar naik minyak, pijak mati lembu dan musnahkan tanaman
GUA MUSANG – Kira-kira 30 penduduk Kampung Subong, di sini, mengalami kerugian mencecah RM50,000 apabila hasil tanaman pokok pisang musnah selepas diserang seekor gajah liar yang naik minyak, Khamis lepas.
Seorang penduduk, Zakaria Omar, 53, berkata, sebanyak 300 pokok pisang musnah dan dua ekor lembu yang diternak juga mati dipijak gajah liar itu dalam kejadian yang berlaku antara pukul 10 malam hingga 3 pagi itu.
Zakaria berkata, gajah liar itu dijumpai berkeliaran dalam kebunnya sejak dua minggu lepas dan didapati semakin mengganas sejak akhir-akhir ini, sehingga bertindak memijak dua ekor lembu ternakan yang dilepaskan meragut di sekitar kebun getah berdekatan.
“Mungkin selepas pijak lembu itu, gajah terbabit memusnahkan 150 pokok pisang yang saya usahakan, yang baru sahaja keluarkan hasil tiga bulan lalu dan belum sempat menjualnya,” katanya ketika ditemui di kebunnya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, susulan kejadian itu, penduduk berasa takut untuk memasuki kawasan kebun sama ada bagi kerja menoreh getah atau menebang pokok pisang kerana bimbang dengan keselamatan mereka.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Nazri Hamzah, 52, berkata, hampir setiap hari penduduk ternampak gajah liar itu berkeliaran di beberapa kawasan kebun penduduk termasuk di kebunnya.
“Kehadiran gajah liar itu berlaku pertama kali sejak penduduk membuka kebun pisang dan menanam pokok getah 30 tahun lepas…Saya yang terserempak beberapa kali dengan gajah itu termasuk pada waktu siang,” katanya.
Jelasnya, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap masalah itu diselesaikan secepat mungkin kerana kebanyakan penduduk bergantung kepada hasil tanaman pokok pisang dan kerja menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka. Bernama
You must be logged in to post a comment.