Terkejut seorang lagi bayi muncul dalam rahim selepas 12 minggu hamil
REBECCA Roberts dan pasangannya, Rhys Weaver, berusaha selama beberapa tahun untuk mendapatkan anak pertama mereka.
Tahun lalu, apa yang dinanti-nanti mereka selama ini menjadi kenyataan apabila mereka mengetahui bahawa Rebecca, selepas diberi ubat kesuburan, sedang hamil.
Ketika Rebecca menjalani ujian ultra-bunyi ketiga pada kehamilan 12 minggu, kegembiraannya bertukar menjadi kejutan apabila doktor memberitahu menemui bayi kedua dalam rahim wanita tersebut.
“Sangat mengejutkan apabila diberitahu ada dua bayi dan bukannya satu,” kata Rebecca, 39 tahun dari Wiltshire, England, kepada program Good Morning America.
“Kemudian mereka memberitahu saya bahawa terdapat sela tiga minggu antara kedua-dua bayi dan doktor juga tidak memahami apa yang berlaku,” katanya seperti dilaporkan ABC News.
Kehamilan itu didiagnosis sebagai superfetation, fenomena di mana kehamilan baru berlaku selepas kehamilan pertama yang dikesan.
Ia berlaku selepas telur dilepaskan dari ovari pada dua sela masa yang berbeza dan terpisah dan kemudian telur itu bersenyawa di dalam rahim, menurut doktor mereka, David Walker yang bertugas di Royal United Hospital di Bath.
Rebecca mengatakan bahawa dia dan suami, Weaver berusaha untuk mencari maklumat dalam talian mengenai superfetation kerana ia sangat jarang berlaku.
Mereka juga diberitahu oleh doktor bahawa kembar mereka yang lebih muda, seorang anak perempuan yang mereka namakan Rosalie, mungkin tidak dapat bertahan.
Ketika Rebecca hamil 33 minggu, doktor terpaksa melakukan pembedahan kerana Rosalie telah berhenti membesar dengan betul kerana ada masalah dengan tali pusatnya.
Akhirnya, Rebecca berjaya melahirkan kedua-duanya bulan September lalu, seorang anak lelaki, Noah dan seorang anak perempuan, Rosalie.
Melahirkan ‘kembar sepasang’, Rebecca mengatakan bahawa dia telah melihat ikatan yang luar biasa antara Noah dan Rosalie, yang kini semakin membesar.
“Apabila kita meletakkannya di sebelah satu sama lain, seperti mereka langsung tahu hubungan mereka dan menyentuh wajah satu sama lain.
“Itu adalah perkara yang paling indah,” ujarnya.
TRIVIA: Apakah superfetation?
Kehamilan dalam kehamilan atau superfetation adalah ketika kehamilan kedua terjadi walaupun setelah kehamilan awal berlaku. Ovum lain (telur) disenyawakan oleh sperma dan menekap pada rahim beberapa hari atau minggu selepas yang pertama. Bayi yang lahir dari superfetation sering dianggap sebagai kembar kerana mereka mungkin dilahirkan pada hari yang sama. Awani
Wanita Bunuh Remaja Hamil & Potong Bayi Dari Rahim
You must be logged in to post a comment.